Kos pekerja domestik Indonesia diumum selepas MoU dimuktamadkan
PENDANG - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengumumkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia selepas memorandum persefahaman (MoU) tersebut dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800 berdasarkan MoU lepas.
Beliau berkata, sebanyak RM6,000 kos di pihak Malaysia dan RM1,800 lagi adalah kos di pihak Indonesia berdasarkan Kumpulan Kerja Bersama Ke-9 pada September 2013 dalam MoU yang telah tamat pada 2016.
"Sehubungan itu, memorandum perkhidmatan domestik Indonesia yang baharu dijadualkan untuk ditandatangani oleh kedua-dua negara di Jakarta pada awal April 2022.
"Struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU tersebut dimuktamadkan kelak," katanya kepada pemberita selepas lawatan tapak di Hospital Pendang dekat sini pada Ahad.
Ketika diminta mengulas sama ada berlaku kenaikan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia, Awang tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos itu berikutan beberapa faktor.
Bagaimanapun, beliau belum dapat menjangkakan sejauh mana peratusan kenaikan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia berbanding beberapa tahun sebelum ini.
"Tidak semestinya naik dan tidak semestinya turun. Kita akan semak semula dari masa ke masa. Bagaimanapun, libat urus akan sentiasa berjalan," katanya.
Awang memaklumkan harga kos pengambilan pekerja domestik Indonesia akan ditentukan dalam persefahaman yang ditandatangani bersama dengan negara sumber.
Sebelum itu, Awang yang juga Ahli Parlimen Pendang melawat tapak Hospital Pendang yang dalam pembinaan di Kampung Banggol Pauh yang kini telah siap kira-kira 95 peratus.
Beliau memberitahu, pembinaan Hospital Pendang yang mula dilaksanakan pada 2018 dijangka siap tidak lama lagi dan akan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!