Buka sempadan: 2.5 juta pelancong dijangka masuk ke Langkawi

Mohd Firdaus (kiri) menurunkan tandatangan pada plak perasmian ketika pembukaan pejabat baru Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis di sini, pada Ahad.
Mohd Firdaus (kiri) menurunkan tandatangan pada plak perasmian ketika pembukaan pejabat baru Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis di sini, pada Ahad.
A
A
A

LANGKAWI - Sasaran kedatangan pelancong ke Pulau Langkawi pada tahun ini dijangka meningkat kepada 2.5 juta susulan pembukaan sempadan pada 1 April depan.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) sebelum ini menyasarkan 2.5 juta kedatangan pelancong ke pulau ini dengan 85 peratus daripadanya pelancong tempatan.

Katanya, pengumuman pembukaan sempadan memberi harapan baharu kepada pelancongan Langkawi memandangkan pulau terbabit sering menjadi pilihan pelancong asing untuk bercuti.

"Oleh sebab itu kita yakin kemasukan pelancong ke Pulau Langkawi akan meningkat sepanjang tahun ini.

"Tambahan pula prosedur operasi standard (SOP) lebih longgar berbanding Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan pejabat baru Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah/Perlis di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Menurutnya, mesyuarat bersama pemain industri Langkawi juga akan diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri untuk membincangkan perancangan bagi merancakkan sektor pelancongan di pulau terbabit.

"Antara yang akan dibincangkan adalah idea dan perancangan untuk menggalakkan kemasukan pelancong ke kepulauan ini.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini pun kita ada perancangan, cuma ia untuk jangka masa pendek, jadi bila sempadan sudah dibuka, kita perlukan satu perancangan jangka masa panjang yang lebih teliti," katanya.

Mohd Firdaus berkata, penerbangan yang membawa pelancong asing juga dijangka tiba di pulau pelancongan ini pada 1 April nanti.

"Antara penerbangan yang akan masuk ke Langkawi adalah penerbangan terus ke pulau ini dari Singapura melalui Scoot Air.

"Satu lagi penerbangan adalah Malaysia Airlines yang akan membawa pelancong luar negara yang transit di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!