Program Intervensi Ehsan bantu rakyat Selangor berjimat
SHAH ALAM - Program Intervensi Ehsan membantu rakyat di Selangor berjimat dari segi pembelian barangan basah sebanyak hampir RM150,000.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjimatan tersebut meliputi 24 peratus daripada hasil jualan melalui program tersebut sebanyak hampir RM500,000.
"Alhamdulillah, Program Intervensi Ehsan yang bertujuan membolehkan barangan basah berkualiti dibeli pada harga lebih murah merekodkan jualan hampir RM500,000 dan rakyat Selangor dapat berjimat hampir RM150,000," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Amirudin turut berkongsi infografik pecahan hasil jualan barangan basah untuk program tersebut.
Ujarnya, sebanyak 29,265 ekor ayam, 13,200 papan telur, 448 kilogram (kg) daging dan 1,249 ekor ikan berjaya dijual menerusi program tersebut.
"Jelajah akan diteruskan ke seluruh Selangor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!