PJKM 'laku', 2.2 tan minyak masak peket terjual
KANGAR - Lebih 2.2 tan minyak masak peket terjual pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) bersempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis dalam masa hanya dua hari sejak Jumaat lalu.
Program itu yang memasuki hari ketiga pada Ahad dan masih dikunjungi orang ramai, menawarkan barang keperluan dengan harga lebih murah, termasuk minyak masak peket yang dijual pada harga 20 peratus lebih rendah daripada pasaran.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis Norazah Jaapar berkata, selain minyak masak peket, barangan lain yang habis dijual di khemah KPDNHEP pada hari pertama dan kedua program berkenaan ialah telur ayam gred B.
"Memandangkan ini hari ketiga (terakhir), bermula jam 3 petang kita ada acara istimewa untuk semua pengunjung iaitu harga yang ditawarkan itu akan menjadi lebih rendah,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Menurut Norazah, empat khemah yang dibuka untuk PJKM kali ini terdiri daripada KPDNHEP, Suruhanjaya Koperasi Malaysia melibatkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad; Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; dan MyGrocer@Wilayah daripada Kementerian Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata, tiada nilai jualan khusus yang ditetapkan kerana sasaran utama adalah membantu golongan B40 mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih rendah.
Antara barangan dijual di khemah PJKM KPDNHEP dengan harga RM2 setiap barangan ialah ikan bilis peket 150 gram (g), kicap 420 g, sos cili botol 400 g dan kopi peket 130 g.
Norazah berkata, PJKM akan diteruskan di Perlis dan paling terdekat adalah pada Khamis ini di Taman Beseri Indah bermula jam 2 petang hingga 6 petang.
Sementara itu, penjawat awam Muizzuddin Naim Yazi, 25, yang berasal dari Kedah mengakui harga barangan yang dijual di sini jauh lebih murah dari kedai.
Turut bersetuju, pesara kerajaan Norma Lah, 63, yang mahu penganjuran program seumpama itu dilanjutkan kerana banyak membantu masyarakat mendapatkan barang keperluan dengan harga lebih rendah di pasaran, terutama melibatkan golongan B40.
Jelajah AKM merupakan kesinambungan kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember tahun lepas dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami serta menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.
Perlis menjadi destinasi ketiga AKM yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra bermula 25 Mac hingga Ahad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!