Selangor impikan `smart factory’
PEKAN Bienne di Switzerland pernah dijajah banyak pihak. Agak unik kerana pekan ini mempunyai dua nama. Pihak Jerman menggelarnya Biel manakala orang Perancis memanggilnya Bienne. Namun, kunjungan kami ke Bienne bukan persinggahan biasa.
Bienne menjadi destinasi terakhir dalam siri lawatan kajian kemahiran termaju TVET Selangor ke Eropah bersama Datuk Menteri Besar, Amirudin Shari. Di pekan Bienne, terletak Switzerland Innovation Park Biel, sebuah kawasan perindustrian yang memiliki institut penyelidikan besar. Di sinilah juga terletaknya ‘Swiss Smart Factory’ (SSF). Konsep persis ‘Teaching Factory’ sebenarnya telah pun penulis kemukakan kepada pengurusan Universiti Selangor (Unisel) tiga tahun lalu.
Justeru, kunjungan ke SSF di Bienne umpama satu impian yang tercapai jua akhirnya. Penulis memang sudah lama ingin berkunjung ke SSF. Namun tujuan penulis bukan untuk melancong tetapi mahu melihat sendiri cara orang Switzerland memajukan bidang penyelidikan dan perkilangan bertaraf dunia.
SSF ialah kilang pintar itu yang dibangunkan pada 2017 berasaskan amalan perkilangan sedia ada berteraskan piawaian Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0). Tahap dan garis panduan pengeluaran berorientasikan tangkas, cekap dan automatik sepenuhnya. Ia diintegrasikan ke dalam rangkaian logistik dan perkhidmatan pintar. SSF sebenarnya telah menyediakan latihan pengalaman, latihan, teknologi dan pembangunan bakat untuk Industri 4.0 dan kecekapan kilang pintar sejak 2014 lagi. Jadi, benarlah bak kata pepatah jauh perjalanan luas pemandangan. Selepas kami meninggalkan SSF, penulis mudah mencerna amanat Amirudin yang mahukan kami menyiapkan ‘TVET blue print’ dengan kadar segera bagi memastikan Selangor menjadi peneraju utama IR 4.0 di Malaysia.
Sepanjang perjalanan pulang dari Zurich ke Kuala Lumpur selama 13 jam, penulis menghabiskan masa merangka beberapa idea besar untuk digarap dan disepadukan dalam perancangan strategik TVET Selangor. Sudah pasti elemen Artificial Intelligence (AI), Operational Technology (OT), Information Technology (IoT), Digital Factory, Big Data, dan beberapa ‘rukun’ teknologi IR 4.0 akan dimasukkan perancangan strategik TVET Selangor.
Dalam hal ini, penulis berasa lega kerana sudah pun menyiapkan sebahagian daripada idea besar berkaitan smart factory atau teaching factory pada 2016. Penulis percaya pada ketika itu Unisel adalah lokasi yang paling tepat untuk menjadi Selangor Smart Factory. Pada 1998, penulis juga pernah mencadangkan pembinaan Selangor Science Park 1 dan Selangor Science Park 2. Akhirnya pembinaannya menjadi kenyataan.
ALLAH SWT sebenarnya telah menyematkan perihal perniagaan dan perkilangan pintar dalam al-Quran. Dalam Surah Ash-Shaff [61:10-11] ALLAH berfirman bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?; (iaitu) kamu beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan ALLAH dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,”
ALLAH amat menekankan peri pentingnya mengkaji dan belajar dari orang yang lebih bijak dan berpengalaman bagi meningkatkan taraf kehidupan sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Mujaadilah [58:11] bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah dalam majlis, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Pengalaman dan usaha orang terdahulu perlulah dijadikan panduan dan teladan serta dikaji supaya dapat dimanfaatkan sebagaimana saranan ALLAH di dalam Surah An-Nahl [16:125] bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhan mu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” Kenyataan ‘hikmah dan pelajaran yang baik’ di dalam ayat di atas bermaksud ilmu dan pengajaran paling utama dari yang utama untuk dikembang dan dimanfaatkan kepada manusia dengan cara yang lebih berkesan.
Penulis percaya Selangor memiliki segenap ramuan untuk menjadi peneraju IR 4.0 di Malaysia. Seperkara lagi yang penulis kagum ketika berada di Eropah ialah tentang kehidupan orang Indonesia. Orang Indonesia sebenarnya lebih berani daripada orang Malaysia. Mereka berkelana hampir di seluruh dunia termasuk di Eropah dan Arab Saudi.
Penulis terkenangkan dialog bersama pemandu teksi berbangsa Indonesia dari Lapangan Terbang Zurich, Switzerland ke Hotel Monopol Luzern yang terletak di Pilatusstrasse, Luzern. Luzern ialah sebuah pekan kira-kira 2 jam perjalanan dari Lapangan Terbang Zurich. Sepanjang dua jam perjalanan itu, penulis berbual dengan pemandu kelahiran Indonesia.
Malah pemandu tersebut juga mencadangkan kami makan di ‘Restoran Singapore’ berdekatan hotel. Penulis cuba mencari restoran milik orang Malaysia tetapi hampa. Ketika di Berlin, Jerman, penulis menikmati juadah makanan yang enak di sebuah restoran bernama Tut Tut milik orang Indonesia. Penulis dimaklumkan Restoran Tut Tut ini masyhur di kalangan orang Jerman.
Pengalaman terbaru ini membuatkan penulis agak keliru dengan sikap orang Malaysia. Barangkali mereka tidak mempunyai keberanian seperti yang dimiliki oleh orang Indonesia. Secara jujur, penulis percaya orang Malaysia khususnya bangsa Melayu seakan-akan sangat selesa dengan tahap kehidupan di negara sendiri.
Tidak seperti orang Indonesia, orang Malaysia agak susah dan tidak mahu mencari `emas di negara orang’ sebaliknya lebih selesa di tanah air halaman sendiri. Penulis percaya sudah sama kita harus keluar mencari sedikit pengalaman di negeri orang dan akhirnya pulang untuk menabur bakti.
* Penulis ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!