Peniaga kedai runcit ditahan miliki mercun bernilai RM150,000

Seorang anggota PPM Wilayah Tiga Kuantan menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas hasil serbuan ke atas rumah seorang peniaga kedai runcit di Perumahan Padang Maju pada Ahad.
Seorang anggota PPM Wilayah Tiga Kuantan menunjukkan sebahagian mercun yang dirampas hasil serbuan ke atas rumah seorang peniaga kedai runcit di Perumahan Padang Maju pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Kuantan merampas pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM150,000 hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Perumahan Padang Maju di sini pada Ahad.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 39 tahun dipercayai pemilik mercun tersebut.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit dipercayai menyimpan bekalan mercun tersebut untuk dijual menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

"Hasil pemeriksaan, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan mercun berkenaan.

"Suspek bersama semua mercun yang dirampas dibawa ke Markas PPM Wilayah Tiga Kuantan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sebahagian mercun yang dirampas hasil serbuan ke atas rumah seorang peniaga kedai runcit di Perumahan Padang Maju pada Ahad.
Sebahagian mercun yang dirampas hasil serbuan ke atas rumah seorang peniaga kedai runcit di Perumahan Padang Maju pada Ahad.

Norzaid berkata, suspek diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

Mengulas kejayaan pihaknya itu, Norzaid berkata, bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota dan pegawai Unit Risikan Marin telah menyerbu dan membuat pemeriksaan di kedai runcit milik suspek.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan ke atas premis itu, kami tidak menemui sebarang mercun dan dipercayai disimpan di tempat lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Hasil pemeriksaan ke atas rumah suspek kemudiannya menemui beberapa kotak mencurigakan dan mendapati ia berisi pelbagai jenis mercun tanpa lesen sah," katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan setelah gagal mengemukakan lesen menjual dan memiliki bahan letupan tersebut.

"PPM Wilayah Tiga akan meningkatkan operasi bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan penjualan mercun serta bunga api tidak berlesen khususnya pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu kepada pihak berkuasa terutamanya Wilayah Tiga melalui talian 09-5137726," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!