Hup Wei umum bersara

Jurulatih Lee Hup Wei (kiri) bersama jurulatih lompat tinggi negara Aleksandar Gasparyan ketika sidang media mengenai Pengumuman Persaraan Lee Hup Wei di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama.
Jurulatih Lee Hup Wei (kiri) bersama jurulatih lompat tinggi negara Aleksandar Gasparyan ketika sidang media mengenai Pengumuman Persaraan Lee Hup Wei di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR- Jaguh lompat tinggi negara dan bekas juara Asia Lee Hup Wei hari ini mengumumkan persaraannya selepas 18 tahun menabur bakti dalam sukan olahraga.

Hup Wei mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang diceburinya sejak berusia 17 tahun itu dengan pelbagai koleksi pencapaian membanggakan, seperti kejayaan meraih pingat emas Kejohanan Asia 2007 di Amman, Jordan dan empat pingat emas Sukan SEA.

Sepanjang kariernya bersama kem olahraga kebangsaan, atlet kelahiran Kajang itu telah membuat tiga penampilan di temasya Sukan Olimpik, iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Beliau yang akan menginjak usia 35 tahun Mei ini, turut beraksi dalam tiga temasya Sukan Asia iaitu Doha 2006, Guangzhou 2010 dan Jakarta-Palembang 2018, selain dua penampilan di Sukan Komanwel iaitu New Delhi 2010 dan Gold Coast 2018.

Di peringkat Asia Tenggara, Hup Wei membuat lima penampilan di Sukan SEA bermula edisi Korat 2007 (emas), Vientiane 2009 (emas), Jakarta-Palembang 2011 (emas), Kuala Lumpur 2017 (perak) dan Manila 2019 (emas).

"Saya Lee Hup Wei, bersara hari ini dan dan saya berterima kasih pada ahli keluarga saya; mak saya, kakak dan isteri, bagaimana sukarnya untuk saya, mereka sentiasa berada di belakang memberikan sokongan kepada saya sentiasa.

"Keduanya saya berterima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MOM ( Majlis Olimpik Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara), ISN (Institut Sukan Negara), MAF (Persekutuan Olahraga Malaysia) dan Tentera Laut saya (Tentera Laut Diraja Malaysia),” katanya dalam satu sidang media mengumumkan persaraannya hari ini.

Catatan lompatan terbaik peribadi Hup Wei sepanjang 18 tahun mewarnai dunia sukan olahraga negara adalah 2.29 meter (m) yang dilakarnya pada Kejohanan Olahraga Dunia 2019 di Doha, Qatar.

Beliau juga berjaya mencipta sejarah menjadi atlet pertama Malaysia mara ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu, sejak diperkenalkan pada 1938 oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Hup Wei sebelum ini telah memberi bayangan untuk bersara ketika beraksi di Sukan SEA Manila, apabila tidak menolak kemungkinan ia bakal menjadi penampilan terakhirnya di temasya sukan dwitahunan itu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Hup Wei yang bertekad menamatkan kariernya tahun ini berkata sekiranya tidak terpilih ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam, Mei depan, beliau akan mengambil keputusan untuk bersara.

Beliau dijangka menjadi jurulatih skuad pelapis lompat tinggi negara, serta merancang membuka akademinya sendiri dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berbakat yang mampu mengharumkan nama negara pasca persaraannya.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!