KUSKOP sedia bantu koperasi ternakan wujud sistem ladang kontrak

 Noh Omar (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bantuan kepada wakil daerah Jelebu, Mohd Razi Ali (kanan) pada Program Usahawan dan Keluarga Malaysia di Simpang Pertang pada Ahad. -Foto Bernama
Noh Omar (dua dari kiri) menyampaikan replika cek bantuan kepada wakil daerah Jelebu, Mohd Razi Ali (kanan) pada Program Usahawan dan Keluarga Malaysia di Simpang Pertang pada Ahad. -Foto Bernama
A
A
A

JELEBU, - Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) bersedia membantu koperasi yang terlibat dalam aktiviti penternakan, mewujudkan pusat pengumpulan perladangan kontrak bagi menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pusat pengumpulan perladangan kontrak itu juga dapat mendorong koperasi terlibat menyediakan ruang pasaran mereka sendiri.

"Kita sedang berusaha membantu koperasi-koperasi yang terlibat kegiatan penternakan, contohnya ayam, lembu dan kambing, dengan menubuhkan pasaran kita sendiri iaitu melalui pusat pengumpulan ternakan kontrak, dengan koperasi yang menjalankan aktiviti ternakan.

"Sebagai contoh Koperasi Makmur, koperasi ini mempunyai ternakan 50,000 ekor ayam dan ia berjaya mewujudkan perladangan kontrak dengan ahli-ahlinya, dan harga jualan seekor ayam adalah RM5,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di Dewan Pusat Khidmat Jelebu, Kompleks UMNO Bahagian Jelebu, Simpang Pertang pada Ahad.

Beliau berkata, setakat ini lebih 3,200 koperasi menjalankan perniagaan dalam sektor ternakan dan pertanian.

Dalam pada itu, Noh turut menjelaskan mengenai isu pelaksanaan gaji minimum, yang dibangkitkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) terhadap kenyataannya baru-baru ini.

Katanya kenyataan penangguhan pelaksanaan gaji minimum oleh pihak kementeriannya itu, hanya melibatkan usahawan mikro dan bukannya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS)

"Terdapat salah faham di sini, saya maksudkan hanya usahawan mikro, iaitu mereka yang memperoleh pendapatan tahunan bawah RM300,000 dan memiliki pekerja bawah lima orang. Bila saya sebut usahawan mikro ini, mereka tiada kena mengena dengan MTUC.

Artikel Berkaitan:

"Peniaga mikro ini, jika mereka ini berniaga di gerai-gerai sahaja, pendapatan mereka tidak seberapa dan mereka tidak akan dapat bayar gaji minimum RM1,500. Kita hanya mahu memberikan pembelaan kepada usahawan mikro ini, kerana mereka juga terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya terdapat usahawan mikro ini, mampu membayar gaji minimum tersebut, tetapi usahawan IKS perlu mengikut gaji minimum ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, Noh tidak sepatutnya ‘campur tangan’ dengan mengumumkan menangguhkan pelaksanaan gaji minimum baharu ke atas perusahaan mikro, kecil dan sederhana. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!