KPKT berusaha tubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Negara

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang berusaha ke arah penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Negara supaya agenda ekonomi kitaran dapat dilaksana secara menyeluruh serta memberi manfaat kepada negara.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan majlis itu bakal menghimpunkan pemegang taruh dan pihak berkepentingan dalam menjayakan agenda tersebut.

"Ketika ini, kerajaan telah memulakan inisiatif sisa kepada tenaga bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap tapak pelupusan sampah dan pada akhirnya membolehkan pemerolehan semula sisa dapat dilaksanakan dalam satu kitaran semula ekonomi terhadap pengeluar atau industri.

"Ini dapat menarik lebih ramai pelabur asing dalam meningkatkan keyakinan perdagangan ke Malaysia terutama dalam bidang pengurusan sisa pepejal dan ekonomi kitaran sebagai usaha mempergiat pemulihan ekonomi negara dan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berdaya huni,” katanya.

Sebelum itu, beliau menyampaikan ucaptama dan merasmikan Minggu Ekonomi Kitaran yang merupakan tema bagi minggu terakhir Ekspo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mac ini di Astaka Malaysia.

Reezal Merican berkata, penglibatan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai mampu memberi pendedahan serta meningkatkan peluang kerjasama antarabangsa dan pemain industri dalam bidang ekonomi kitaran.

Minggu Ekonomi Kitaran itu diselaras oleh Perbadanan Teknologi hijau dan Perubahan Iklim Malaysia dengan diterajui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta melibatkan pelbagai syarikat dan pemain industri berkaitan Ekonomi Kitaran.

KASA dalam kenyataan berasingan memaklumkan Minggu Ekonomi Kitaran menjadi platform untuk mempromosikan inisiatif ekonomi kitaran Malaysia yang mendukung prinsip Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selari dengan dokumen Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030 yang dibangunkan kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, ia juga bertujuan menonjolkan inisiatif pihak industri tempatan dalam menerap dan mempromosikan amalan perniagaan lestari melalui agenda ekonomi kitaran.

Ia termasuk meningkatkan inovasi reka bentuk produk, mengoptimumkan proses pengeluaran dan melaksanakan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!