Pogba belum ada keputusan bersama United
TONGGAK tengah Perancis, Paul Pogba mengakui dirinya masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai masa depannya di Old Trafford meskipun kontraknya bersama Manchester United akan tamat pada penghujung musim ini.
Bagaimanapun menurut pemain berusia 29 tahun itu, dia enggan memikirkan mengenai perkara tersebut sebaliknya mahu fokus untuk bantu United menamatkan musim ini di kedudukan yang terbaik.
"Belum ada apa-apa keputusan mengenai masa depan saya di United. masih belum ada apa-apa.
"Saya boleh menentukannya esok dan saya boleh menentukannya dalam jendela perpindahan akan datang.
"Apa yang penting ketika ini, saya mahu kembali bersama United dan menamatkan musim ini dengan baik," katanya.
Terdahulu, kedudukan Pogba di Old Trafford dilihat masih samar selepas pemain tengah itu dilaporkan masih belum menandatangani kontrak baharu sejak berpindah dari Juventus pada 2016.
Difahamkan, ejen pemain berusia 28 tahun, Mino Raiola sudah menghubungi Paris Saint-Germain (PSG) mengenai potensi perpindahan ke Ligue 1 pada musim panas ini.
Dalam pada itu, Pogba turut mengakui beraksi bersama skuad kebangsaan Perancis memberi peluang buat dirinya untuk berehat daripada situasi tidak menentu di United.
"Saya harus jujur, saya kini berhadapan detik yang sukar terutama ketika berada di United.
"Situasi berbeza ketika saya bersama Perancis yang mana apabila saya tidak bermain atau apabila keputusannya tidak bagus ketika berada di sini (bersama skuad kebangsaan Perancis) ia seumpama satu motivasi untuk anda jadi lebih baik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!