Malaysia terima impak negatif jika konflik Rusia-Ukraine berterusan

Sultan Nazrin Shah berangkat ke pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri). - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah berangkat ke pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Malaysia tidak terlepas daripada berdepan kesan negatif termasuk ancaman bekalan makanan sekiranya konflik Rusia-Ukraine berlarutan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, kesan langsung dan tidak langsung daripada konflik yang berterusan akan mempengaruhi persekitaran inflasi dan kadar faedah serta menyebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan dan berkurangan antara 10 hingga 20 peratus.

Titah baginda, bagi tahun 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sekitar 5.7 peratus, dipacu oleh peningkatan signifikan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik serta sentimen pengguna dan perniagaan yang kian meningkat.

"KDNK Malaysia mencatatkan penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020 dan pada 2021, membayangkan pelangi pemulihan, mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 3.1 peratus.

"Namun langit yang diharapkan cerah, kelihatan memunculkan awan mendung.

"Risiko rantaian bekalan global yang berada dalam keadaan rapuh, kini beralih daripada menghadapi bencana pandemik kepada konflik Russia-Ukraine yang mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, sudah pun menyebabkan harga minyak dan gas asli dunia melonjak lebih tinggi, memburukkan keadaan bagi syarikat dalam banyak industri terutama yang sangat bergantung pada sumber tenaga minyak.

"Ekonomi global bakal menghadapi kemelesetan jika konflik berlarutan dan Malaysia tidak terlepas daripada berdepan kesan negatif," titah baginda sempena perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung selama tiga hari bermula Isnin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin bertitah, laporan Global 2020 mengenai krisis makanan menyatakan, pandemik Covid-19 mampu mengakibatkan kemerosotan mencecah tahap kritikal jaminan bekalan makanan yang mengakibatkan harga makanan meningkat sekaligus menjejaskan kehidupan dan mencetuskan keresahan rakyat.

Justeru jelas baginda, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan melalui usaha memacu pemodenan subsektor makanan melalui Revolusi Perindustrian 4.0, mencari akses pasaran baharu dan menarik minat generasi muda menyertai sektor-sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

"Pandemik Covid-19, bencana alam, inflasi dan terkini peperangan telah mengancam jaminan bekalan makanan dunia.

"Untuk memastikan kelestarian dan kesinambungan keselamatan makanan, Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan peringkat Negeri Perak telah ditubuhkan.

"Bertujuan memperkukuhkan daya tahan sistem makanan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu sekuriti makanan terutama aspek-aspek bekalan, pengeluaran, harga, kuasa beli pengguna, tabiat pemakanan serta kemampanan alam sekitar," titah baginda.

Dalam perkembangan sama, baginda memuji usaha 40 masjid dan beberapa pusat tahfiz di negeri ini yang memajukan kawasan sekitar institusi untuk menghasilkan makanan menerusi projek pertanian yang dibiayai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Usaha terpuji ini perlu diperluas dan diperbanyakkan dengan penglibatan lebih banyak masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, pertubuhan belia, pihak swasta dan turut diperkenalkan di kuarters kerajaan merangkumi kem tentera dan berek polis," kata baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!