MPK kesan 808 lot kilang tiada kebenaran merancang

Noraini (tengah) turun padang bersama pasukan petugas dalam membuat pemantauan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman di sini.
Noraini (tengah) turun padang bersama pasukan petugas dalam membuat pemantauan di kawasan perindustrian Bandar Sultan Suleiman di sini.
A
A
A

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengesan sebanyak 808 lot daripada 1,312 kilang masih lagi tidak mengemukakan Kebenaran Merancang (KM).

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, daripada jumlah itu, hanya 387 lot sahaja telah mendapat kelulusan KM, manakala 117 lot lagi sedang dalam proses kelulusan.

Menurutnya, MPK tidak berkompromi terhadap kilang tanpa kebenaran (KTK) dan akan memberi tumpuan kepada tindakan penguatkuasaan.

"Tindakan penguatkuasaan akan tertumpu kepada kilang tanpa kelulusan, kilang di atas tanah kerajaan di bawah tindakan pejabat daerah dan tanah, tanah hak milik sungai dan kilang yang mendatangkan risiko pencemaran," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, MPK dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah mengadakan beberapa kali taklimat kepada KTK bermula tahun 2009.

"MPK telah menjalankan task force (pasukan petugas) KTK bermula tahun 2004 bagi melaksanakan program pemutihan dan langkah-langkah yang bersesuaian untuk pemutihan KTK.

"Taklimat kali terakhir diadakan pada tahun 2016 bagi menyampaikan dasar kerajaan Selangor mengenai kilang yang beroperasi tanpa kebenaran.

"Justeru, MPK mengadakan sesi taklimat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap KTK sekiranya masih tidak berusaha mendapatkan KM," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!