Kelantan catat lebihan akaun semasa RM47.61 juta
KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di atas prestasi kewangan yang telah menunjukkan pengukuhan serta masih berdaya tahan bagi tahun 2021 dan sebelumnya walaupun beroperasi dalam ekosistem persekitaran ekonomi lebih mencabar akibat pandemik Covid-19.
Perkara tersebut dizahirkan baginda menerusi titah Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-14 Tahun 2022 yang dibacakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Sultan Muhammad V bertitah, prestasi akaun semasa kerajaan negeri tahun 2021 mencatat lebihan sebanyak RM47.61 juta yang menunjukkan peningkatan berjumlah RM2.17 juta atau lebih 4.77 peratus berbanding tahun 2020.
"Pencapaian ini telah dicatatkan selama lima tahun berturut-turut. Kerajaan negeri melalui dasar kewangan komprehensif telah berjaya mengawal perbelanjaan mengurus berdasarkan keutamaan perbelanjaan yang akan memberi impak terus kepada rakyat melalui projek-projek 'people-centric' seperti pembinaan atau pembaikan Rumah Dhuafat, bantuan Al-Musa’adah dan Rumah Mampu Milik (RMMK) di Daerah Badang," titah baginda.
Baginda bertitah, peningkatan perbelanjaan pembangunan setiap tahun melebihi RM152 juta memberikan gambaran kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah wang bagi perbelanjaan modal untuk kesejahteraan rakyat terutama kepada projek infrastruktur dan kemudahan asas.
Sultan Muhammad V bertitah, pembangunan infrastruktur yang sempurna merupakan nadi kepada kemajuan dan pembangunan sesebuah negeri.
Baginda menaruh harapan dengan adanya pembinaan seperti Jambatan Pengkalan Kubor-Tak Bai, projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dapat mewujudkan rangkaian lebuhraya menyeluruh yang bertindak sebagai tulang belakang kepada sistem pengangkutan wilayah pantai timur semenanjung Malaysia.
"Beta juga mengharapkan Bandar Tok Bali juga turut diberi fokus oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan Pusat agar pembangunan infrastruktur terus ditingkatkan seterusnya menjadikannya sebagai pusat perkembangan industri dan pelabuhan.
"Pada waktu yang sama, beta melihat perkembangan bandar-bandar baharu seperti Bandar Islamik di Tunjong, Bandar Sukan di Bukit Merbau, Bandar Industri IBS di Machang dan Bandar Perabot di Gua Musang dapat direalisasikan pembangunannya oleh kerajaan negeri kerana ianya juga mampu menjadi pemangkin ekonomi kepada negeri ini," titah baginda.
Sultan Muhammad V bertitah agar kerajaan dapat memperkasakan usahawan-usahawan dalam kategori 'home based business' dan mikro dengan menyediakan lebih banyak bantuan seperti bantuan peralatan, kursus bimbingan dan khidmat nasihat.
"Para belia digalakkan mengambil peluang yang ada dengan perkembangan teknologi berasaskan internet sebagai platform niaga," titah baginda.
Baginda turut berharap dengan penubuhan Perbadanan Digital Kelantan akan dapat memacu pertumbuhan industri ICT dan Digital pada masa yang sama dapat membantu golongan usahawan ini mengembangkan perniagaan mereka.
Persidangan DUN Kelantan ditangguhkan dan bersambung pada 9 pagi Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!