'Jangan hanya taksub kejar untung' - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin - Foto Bernama
Sultan Nazrin - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan tidak boleh dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar yang mengundang pelbagai bencana alam.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pembangunan negara seharusnya mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.

Menurut baginda, kecanggihan teknologi semata-mata tidak akan mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.

"Ketaksuban untuk memajukan prasarana dan meraih keuntungan perniagaan jangan dijadikan lesen bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.

"Dunia kini menghadapi pelbagai bencana yang mengakibatkan kemusnahan harta benda serta kehilangan nyawa.

"Bencana alam yang kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim, sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia," titah baginda sempena perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak berlangsung selama tiga hari bermula Isnin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah kawalan pencegahan Covid-19.

Sultan Nazrin turut menegur sikap rakyat Malaysia yang kurang kesedaran dan tidak menghiraukan bahaya pencemaran plastik meracuni makanan dan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Titah baginda, Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi penggunaan plastik dengan berat 70 kilogram per kapita dan disenaraikan antara negara di dunia menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan.

"Rakyat Malaysia secara purata menggunakan 300 beg plastik setahun dan dianggarkan membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun. Plastik yang hanyut ke laut atau yang disepahkan di darat mengambil masa 400 tahun sebelum mereput.

"Jabatan kerajaan, masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan dan belia hendaklah membantu kempen untuk rakyat meminimumkan penggunaan beg plastik dan tidak membuang sisa plastik ke dalam parit, tasik, saliran dan sungai atau dibiarkan tertinggal bersepah di bumi," titah baginda.

Bagind turut menzahirkan kebimbangan terhadap pemanasan global dan suhu dunia yang semakin meningkat menjadi ancaman besar kepada kehidupan alam.

Titah baginda, Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COP 26 di Glasgow pada penghujung tahun 2021 telah menjadikan isu penyelesaian perubahan iklim dunia sebagai agenda utama.

"Kerajaan beta tidak terkecuali mengambil langkah-langkah proaktif menangani kesan perubahan iklim.

"Seluas 986,848.26 hektar atau 47 peratus daripada keluasan tanah negeri telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang diuruskan secara Prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang terbahagi kepada dua pengelasan fungsi, iaitu Hutan Pengeluaran membabitkan 501,235.70 hektar dan Hutan Perlindungan melibatkan 485,612.56 hektar.

"Kerajaan beta turut melaksanakan Program Penghijauan Malaysia di peringkat negeri. Kempen menanam 10 juta pokok dalam tempoh lima tahun telah dirintis sejak tahun 2021 dan sehingga Disember 2021, lebih dua juta pokok telah berjaya ditanam," titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!