'Kesabaran itu sentiasa penting' - Max Verstappen
JUARA dunia Formula Satu (F1), Max Verstappen dari Belanda menegaskan kesabaran merupakan elemen penting memacu kemenangan sensasi Red Bull dalam Grand Prix (GP) Arab Saudi di Litar Jeddah Corniche pada Isnin.
Malah menurut pelumba berusia 24 tahun kelahiran Belanda itu, dorongan itu juga menjadi pencetus semangat kepada pasukan selepas prestasi mengecewakan pada perlumbaan pertama di GP Bahrain sebelum ini yang menyaksikan jenteranya berdepan masalah mekanikal.
Jelasnya lagi, saingan sengit diberikan pemandu Ferrari, Charles Leclerc dalam mengharungi 50 pusingan tersebut juga memerlukan daya ketahanan mental yang kuat.
"Ya, saya sangat teruja dan gembira kerana akhirnya Red Bull berjaya memulakan perlumbaan musim ini dengan kutipan mata meyakinkan.
"Kesabaran itu sentiasa penting terutama apabila berjuang untuk kejuaraan, anda sentiasa perlu bekerja keras, namun perlu diingat bahawa anda perlu mendapatkan mata, jadi itulah yang kami lakukan hari ini.
"Kami berlumba bersungguh-sungguh, namun pada masa sama kami juga mahu meraih mata," kata Verstappen yang bermula di tempat keempat.
Verstappen kembali mempamerkan mentaliti juara apabila menjuarai GP Arab Saudi selepas permulaan memilukan di GP Bahrain apabila jenteranya mengalami masalah mekanikal pada empat pusingan terakhir.
Pemanduan konsisten menyaksikan Verstappen meraih kemenangan ke-21 dalam kariernya sekali gus membolehkan Verstappen mengakhiri perlumbaan dengan catatan 1 jam 24 minit 19.293 saat sambil diekori rapat pelumba sensasi Ferrari dari Monaco, Charles Leclerc (0.549 saat) kedua.
Rakan sepasukan Leclerc, Carlos Sainz (8.097 saat) melengkapkan kedudukan podium tiga terbaik perlumbaan kedua sukan permotoran berprestij dunia tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!