‘Tidak mahu sumbangan kerana rezeki ALLAH sudah cukup’
KUALA NERUS – Wanita yang tular kerana membawa ibu saudaranya menaiki motosikal roda tiga di jambatan angkat atau drawbridge ketika cuaca panas berharap orang ramai berhenti menyebarkan maklumat dirinya kerana ia melibatkan privasi dan keselamatan dia sekeluarga.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Soleh dari Kampung Padang Nenas, di sini berkata, telefonnya tidak berhenti berdering sejak video dan maklumat peribadi seperti nama penuh, alamat serta nombor telefonnya tular di media sosial pada Ahad.
“Saya harap orang ramai dapat menghormati privasi kami sekeluarga, jadi saya mohon supaya semua maklumat peribadi saya dalam media sosial dipadamkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Soleh yang menjalankan perniagaan ais krim potong juga memohon maaf tidak dapat menerima bantuan yang mahu disumbangkan orang ramai kerana pendapatan diperoleh sudah cukup untuk menampung keperluan harian.
Beliau berkata, walaupun ibu saudaranya, Rudziah Sagir orang kurang upaya (OKU) sejak lahir namun mereka sekeluarga bukanlah golongan yang memerlukan bantuan.
“Alhamdulillah, ALLAH SWT kurniakan rezeki mencukupi buat saya dan ibu saudara jadi saya tidak berniat terima apa-apa sumbangan.
“Penolakan ini bukan kerana sombong tetapi bagi saya lebih ramai lagi orang di luar sana yang memerlukan bantuan dari netizen yang baik hati. Oleh itu penyumbang boleh mencari orang yang benar-benar memerlukan,” katanya.
Soleh turut berharap orang ramai yang benar-benar ikhlas mahu membantunya dapat menyokong perniagaan ais krim potong dan ejen jualan produk penjagaan kesihatan serta kecantikan diusahakannya.
Katanya, setakat ini perniagaan tersebut aktif dipromosikan melalui aplikasi Tik Tok dengan nama akaun hijrahsoleh1.
Menceritakan kisah sebenar di sebalik video tular tersebut, Soleh berkata, video itu dirakam ketika dia melalui drawbridge untuk membeli barang penjagaan kesihatan dan kecantikan dipesan pelanggan selepas selesai menghantar ais krim potong.
“Bila bangun pagi tengok telefon untuk lihat pesanan pelanggan, saya terkejut nampak video saya bersama ibu saudara viral hingga ramai orang sama ada dari dalam mahupun luar Terengganu hubungi untuk hulur bantuan.
“Ibu saudara saya sebenarnya tidak mempunyai apa-apa masalah kesihatan. Dia tinggal dengan saya di sini sementara ayah cari lokasi lebih sesuai kerana rumah di kampung sering banjir,” katanya yang turut membuka pakej infaq ais krim berbuka puasa kepada anak yatim dan pusat tahfiz sepanjang Ramadan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!