Angka korban akibat demam Lassa di Nigeria meningkat 123 mangsa

Foto AFP
Foto AFP
A
A
A

ABUJA - Angka kematian akibat demam Lassa di Nigeria tahun ini meningkat kepada 123 mangsa di tengah-tengah usaha kerajaan mengurangkan jangkitan di seluruh negara, menurut Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) pada Ahad.

NCDC dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 659 kes demam Lassa telah direkodkan di seluruh negara Afrika Barat sejak Januari.

Daripada jumlah itu, 45 pengamal kesihatan turut dijangkiti antara Januari dan Mac, menurut agensi kesihatan awam itu.

Kira-kira 91 kawasan tempatan di 23 negeri di Nigeria telah melaporkan kes jangkitan setakat ini, lapor Xinhua.

Menurut NCDC dengan jumlah kematian yang direkodkan setakat ini, kadar kematian bagi wabak demam Lassa adalah 18.7 peratus.

Kumpulan utama yang terjejas setakat ini berumur antara 21 dan 30 tahun.

NCDC memaklumkan bahawa pembawa virus Lassa adalah tikus spesis multimammate yang boleh ditemui di seluruh wilayah Afrika Barat, sambil menyeru negara-negara jiran terus berwaspada terhadap penularan penyakit itu.

Pada bulan Januari, NCDC berkata ia telah mengaktifkan pusat operasi kecemasan demam Lassa pelbagai sektor dan disiplin sebagai tindak balas terhadap wabak di negara itu.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!