Sambutan luar biasa bukti rakyat berubah: Musa
GEORGETOWN - UMNO Pulau Pinang tidak menyangka sambutan luar biasa orang ramai ketika lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini pada Jumaat dan Sabtu lalu
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, jika diterjemahkan kepada jumlah undi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mustahil berlaku perubahan di negeri ini yang sekian lama dipimpin Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun katanya, perkara itu bergantung kepada rakyat untuk membuat pilihan dan Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang tetap melaksanakan tugas selain tidak mahu terlalu yakin.
"Saya yakin rakyat sudah sedar dengan fitnah ke atas Najib sebelum ini, terutama pada PRU14 dahulu. Ketika itu, rakyat termakan fitnah yang dilemparkan oleh PH. Rakyat kini mula menunjukkan sokongan kepada beliau," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, rakyat mula sedar janji yang dibuat oleh PH selepas PRU14 tidak dilaksanakan seperti yang dijanjikan.
"Kebanyakan yang hadir ialah orang muda dan berusia. Mereka sudah mula sedar yang selama ini Najib difitnah. Mereka mahu perubahan dalam PRU15 nanti," katanya mengulas sambutan rakyat yang dikatakan luar biasa ketika lawatan dua hari Najib ke Pulau Pinang.
Selain Jelutong dan Bukit Mertajam, Najib turut dijemput sebagai pemberi ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Pulau Pinang (Pibis) di Spice Arena di Bayan Baru, di sini.
Dalam ucapannya itu, Najib menyentuh berkaitan politik ditujukan buat komuniti Cina.
Najib turut memberitahu, jika BN kembali berkuasa dengan pelbagai kaum BN yang kuat serta majoriti kukuh, beliau memberi jaminan pasaran saham akan kembali rancak dan pelabur asing akan memilih Malaysia.
Perkara itu dibidas oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong apabila menyatakan bahawa janji Najib itu tidak boleh dipercayai dan hanya janji kosong.
Mengulas dakwaan kononnya semua penyokong yang hadir ketika sesi lawatan Najib itu dibayar, Musa berkata, sekiranya benar, ia perlu disertakan dengan bukti.
"Ini dakwaan yang merepek, semua yang hadir orang tempatan yang mahu berjumpa dengan bekas Perdana Menteri, malah jemputan (Najib) dibuat oleh badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan. Tidak ada isu bawa orang luar dan dibayar.
"Jika dakwaan ini benar, tunjuk bukti. Saya berada dengan beliau di beberapa lokasi, semua yang hadir orang tempatan. Ini fitnah orang yang takut dengan sambutan yang diberikan kepada beliau (Najib)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!