Buka sempadan: Kenderaan pengangkutan dibenar operasi
PUTRAJAYA - Selaras pembukaan sempadan darat Malaysia - Singapura pada 1 April ini, semua kelas perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dibenarkan beroperasi.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, operator perkhidmatan kenderaan pengangkutan awam dalam negara boleh membuat persiapan memulakan semula operasi termasuk memperbaharui semua permit atau lesen berkaitan, sama ada dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) atau pihak berkuasa Singapura.
Bagaimanapun katanya, penyediaan atau permulaan perkhidmatan sebenar tertakluk kepada kesediaan operator untuk memulakan operasi semula.
"Semua operator kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan juga diingatkan mematuhi semua garis panduan (SOP) kesihatan sedia ada termasuk menyediakan kod QR dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Ka Siong, operator perlu memastikan penumpang mengimbas kod QR bagi tujuan pengesanan kontak tetapi tidak perlu membuat pemeriksaan atau menyemak status vaksinasi penumpang selaras dengan ketetapan semasa.
Tambahnya, operator atau pemandu kenderaan perkhidmatan awam boleh menolak menyediakan perkhidmatan kepada pengembara yang tidak mematuhi SOP kesihatan.
"Adalah menjadi tanggungjawab pengembara untuk memastikan mereka telah mempunyai aplikasi MySejahtera yang sah di telefon pintar dan memenuhi semua syarat-syarat pengembaraan yang telah ditetapkan," katanya.
Ka Siong berkata, kegagalan berbuat sedemikian akan menyebabkan tindakan boleh diambil kepada pengembara berkenaan termasuk dikenakan tindakan kompaun atau penalti di bawah undang-undang sedia ada.
"Pengembara yang menggunakan kenderaan motokar persendirian ke Malaysia pula diingatkan untuk mendaftar dan mendapatkan permit kemasukan kenderaan asing dengan melayari laman web [https://vep.jpj.gov.my/].
"Kenderaan yang telah berdaftar akan dibekalkan dengan tag RFID-VEP yang turut dilengkapi dengan aplikasi e-wallet Touch n Go bagi tujuan pembayaran Caj Jalan (RC) dan tol," katanya.
Ujarnya, semua kereta persendirian berdaftar Singapura juga dikehendaki membayar RC iaitu RM20 setiap kemasukan apabila masuk ke Malaysia.
"Bagi kenderaan yang telah didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC boleh dibuat melalui e-wallet Touch n Go yang digabungkan dalam tag RFID," katanya.
Menurutnya, kenderaan berdaftar Singapura yang masih belum didaftarkan dan dipasang dengan tag RFID VEP, pembayaran untuk RC masih boleh dibuat dengan menggunakan kad Touch n Go.
"Semua pengembara yang memandu kenderaan persendirian pendaftaran Singapura perlu memastikan kad Touch n Go mereka masih sah dan mempunyai baki mencukupi untuk membayar RC bagi mengelakkan kesesakan dan kelewatan apabila memasuki Malaysia di BSI atau KSAB.
MOT berharap pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura ini bukan sahaja dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara tetapi juga dapat merapatkan kembali ikatan kekeluargaan dan persahabatan antara rakyat Malaysia-Singapura," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!