SC berjaya dalam saman sivil berhubung skim pelaburan Deposit Euro

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan tindakan penguatkuasaan sivil terhadap 10 individu pada tahun lepas dan berjaya dalam saman yang difailkan pada 2013 membabitkan skim pelaburan Deposit Euro.

SC dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan hari Ini berkata, enam defendan dalam skim pelaburan Deposit Euro telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membayar RM13.35 juta selain menjejaki aset mereka dan dibayar kepada SC sebagai ganti rugi kepada pelabur.

Dalam tindakan sivil ke atas 10 individu terbabit, sejumlah RM4.96 juta telah diperolehi dari mereka melalui penyelesaian pengawalseliaan.

"Sejumlah RM2.69 juta juta lagi telah dipulangkan dari lapan individu melalui persetujuan penghakiman,” katanya.

Suruhanjaya itu turut memperoleh pembayaran sebanyak RM2.5 juta melalui penalti sivil pada tahun lepas.

Sementara itu, pada 31 Dis 2021, sejumlah RM2.74 juta telah dikembalikan kepada 721 pelabur dan lebih RM1.60 juta yang diperuntukkan bagi pemulangan seterusnya yang melibatkan 501 pelabur.

Menurut SC, melalui tindakan penguatkuasaan sivilnya, lima individu telah dihalang daripada berurus niaga di bursa saham, manakala tujuh individu lagi tidak dibenarkan menjadi pengarah syarikat tersenarai awam (PLC).

Pada 2021, SC juga mengenakan sejumlah RM2.87 juta dalam penalti.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya itu ketika mengulas mengenai perkembangan lain memberitahu ia telah mendakwa individu dan satu PLC pada 2021 dengan 10 tuduhan jenayah yang berkaitan dengan pelbagai kesalahan, seperti aktiviti yang tidak berlesen, pendedahan kewangan yang tidak benar termasuk pemalsuan rekod.

Di samping itu, SC bersama dengan Jabatan Peguam Negara telah memfailkan permohonan pelucutan aset yang berkaitan dengan kesalahan pengubahan wang haram terhadap syarikat swasta dan satu individu yang melibatkan beberapa skim bagi menipu Bright Packaging Industry Bhd (BPI). Kes tersebut berkaitan dengan penjualan sekuriti melalui terbitan hak BPI, penempatan persendirian serta skim opsyen saham pekerja (ESOS).

Tindakan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SC berjaya dalam dakwaannya terhadap tiga individu yang melanggar pelbagai undang-undang sekuriti, termasuk perdagangan orang dalam, pendedahan maklumat kewangan yang tidak benar dan kegagalan untuk hadir di hadapan seorang pegawai penyiasat bagi siasatan AMLATFPUAA.

Selepas sabitan, mahkamah mengenakan hukuman penjara satu hari dan jumlah denda sebanyak RM7.58 juta.

SC juga menyemak 69 pelanggaran undang-undang sekuriti, dengan lebih daripada 40 peratus kes yang dikaji berpotensi untuk tindakan penguatkuasaan yang berkaitan dengan penipuan sekuriti, pelanggaran pendedahan serta kegiatan yang tidak berlesen, selaras dengan keutamaan penguatkuasaan SC.

Terdapat 46 siasatan aktif sehingga 31 Dis 2021, SC berkata sambil menambah suruhanjaya itu terus mendedikasikan sumber yang besar untuk menjalankan siasatan berkaitan pemalsuan sekuriti dan kesalahan memanipulasi pasaran.

Tahun lepas, SC mengajukan 36 permintaan untuk bantuan penyiasatan kepada 15 pihak berkuasa penyeliaan asing iaitu di Singapura (tujuh), Emiriyah Arab Bersatu (lima), Hong Kong (empat), tiga permintaan masing-masing dari United Kingdom, Qatar dan India serta dua lagi dari British Virgin Islands dan Sri Lanka.

China, Indonesia, New Zealand, Amerika Syarikat, Luxembourg, Arab Saudi dan Bahrain mempunyai satu permintaan masing-masing.

"SC turut memberi bantuan kepada tiga pihak berkuasa penyeliaan asing berhubung dengan empat permintaan untuk bantuan siasatan,” katanya.

Sementara itu, terdapat 31 kes mahkamah yang sedang berjalan membabitkan 52 individu pada 2021 dengan kes-kes yang merangkumi salah laku korporat (22 peratus), perdagangan maklumat orang dalam (32 peratus), penipuan sekuriti (10 peratus), manipulasi pasaran (10 peratus), aktiviti tidak berlesen (10 peratus), dan di bawah AMLATFPUAA (16 peratus). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!