Bekalan daging di Kedah untuk Ramadan, Syawal mencukupi
KULIM - Bekalan daging untuk keperluan sepanjang Ramadan dan Syawal di Kedah dijangka mencukupi pada tahun ini.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Azman Nasruddin berkata, ini kerana bekalan daging turut diperoleh dari beberapa negara seperti Thailand, Kemboja dan Laos bagi menampung permintaan pada musim perayaan.
Menurutnya, pada tahun ini eksport bekalan daging dari luar tidak terjejas berbanding tahun lalu akibat penyakit kulit kental (LSD) yang menjangkiti ternakan.
"Saya percaya bekalan daging kali ini tiada masalah, sebab kita ada bawa masuk lembu dari negara jiran melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam. Tahun lepas daging import agak perlahan sebab LSD, tahun ini lebih rancak susulan penyakit itu sudah terkawal," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah (HPPNK) 2022 di Stadium Kulim di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata, Kedah sedang giat menjalankan program baka lembu tempatan bagi menampung keperluan domestik memandangkan populasinya masih rendah.
"Produk ruminan atau veterinar kita tidak boleh dieksport sebab masih ada ternakan yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD).
"Sebagai langkah merancakkan lagi industri ternakan, program zon bebas penyakit FMD Langkawi sedang giat dijalankan dan dijangka mendapat status bebas penyakit secara vaksinasi menjelang 2025," katanya.
Menurutnya lagi, projek perintis itu merupakan zon bebas FMD pertama dalam negara dan akan diperluaskan ke daerah lain.
"Bagi menjamin keselamatan produk makanan, insentif bagi menaik taraf rumah sembelih ruminan sedia ada ditawarkan kepada pengusaha yang mengeluarkan daging jualan kepada orang awam bagi melengkapkan fasiliti selaras dengan Pelesenan Rumah Sembelih Swasta," katanya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif diambil oleh kerajaan negeri bagi pembangunan penternak semua komoditi di negeri ini.
"Baru-baru ini kita bersetuju melaksanakan tempoh pemutihan pelesenan yang julung kali diadakan selepas pewartaan pada tahun 2008 bagi memberi peluang ladang-ladang yang beroperasi tanpa lesen mengemukakan rayuan permohonan lesen agar dapat menjalankan aktiviti secara sah, tertakluk kepada Enakmen Peladangan Unggas 2005," katanya.
Azman memaklumkan, kerajaan negeri juga bersetuju memberi insentif ternakan secara geran pemadanan kepada penternak yang memperluaskan lagi aktiviti dan kapasiti ternakan sedia ada.
"Penternak juga berdepan dengan penyakit ternakan seperti LSD dan African Swine Fever yang memberi impak ekonomi kepada penternak. Kita akan bantu mereka dengan memberi vaksin LSD percuma.
"Mereka turut dibebani dengan kenaikan harga bekalan makanan ternakan import dan kualiti makanan yang terjejas disebabkan kenaikan harga bahan mentah import, kesan daripada kenaikan kos kontena dan kualiti terjejas dalam tempoh pengangkutan dan kejadian bencana di negara pengeluar," katanya lagi.
Menurutnya, pengeluaran sektor penternakan ruminan di Kedah menyumbang kepada sembilan peratus pengeluaran negara meningkat dengan perlahan dan didominasi penternak kecil dan sederhana.
"Pengeluaran daging ayam dan telur kekal memenuhi kadar sara diri negeri Kedah, melebih 100 peratus bagi daging ayam dan 95 peratus telur ayam.
"Kerajaan Persekutuan telah umumkan subsidi harga ayam dan telur bagi mengurangkan beban penternak dalam tempoh kawalan harga daging ayam dan telur melibatkan peruntukan RM528.52 juta, memanfaatkan 160 penternak di Kedah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!