SKMM terima 7 aduan jual dadah di internet
SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima tujuh aduan berkaitan penjualan dadah di laman internet sejak tahun lalu.
Menurut SKMM, kegiatan penjualan dadah seperti ganja, sama ada secara dalam talian (online) atau pun luar talian (offline) adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234].
"Di pihak SKMM, dari 1 Januari 2021 sehingga 28 Februari tahun ini, kita telah menerima sejumlah tujuh aduan awam berkaitan aktiviti berkenaan yang mana pengadu seterusnya dirujuk kepada PDRM untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka (polis).
"SKMM akan memberikan bantuan teknikal bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh pihak PDRM mengikut keperluan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, sehingga hari ini, tiada laman sesawang yang disekat mengikut peruntukan undang-undang di bawah ADB 1952.
Jelas SKMM, sebarang sekatan ke atas mana-mana laman sesawang melibatkan penjualan dadah adalah berdasarkan permohonan rasmi di bawah ADB 1952 yang berada di luar bidang kuasa pihaknya.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis tidak menolak kemungkinan bekas penyanyi nasyid dan komposer terkenal yang ditahan kerana menanam ganja di kediamannya mendapatkan benih tumbuhan tersebut menerusi platform dalam talian.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, soal siasat masih dijalankan sama ada suspek memperolehnya daripada medium dalam talian atau pun pembelian menerusi individu tertentu.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan polis pada Khamis lalu bersama 17 pasu pokok ganja, yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu dalam serbuan di kediamannya di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri selain telah terlibat dengan penagihan dadah sejak 10 tahun lalu.
Suspek kini direman tujuh hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 6B ADB 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!