Anjing K9 digerak cari mangsa runtuhan batu kuari

Unit K9 mula digerakkan di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM Perak
Unit K9 mula digerakkan di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula digerakkan ke tapak kuari di Keramat Pulai, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini pada Isnin bagi mengesan dua mangsa yang masih tertimbus sejak 8 Mac lalu.

Timbalan Komander Operasi II, JBPM Perak, Umrani Che Mat berkata, dua anjing dari unit itu yang dibawa masuk bagi membuat pencarian pada operasi hari ke-21 menunjukkan petanda positif.

"Pencarian K9 pagi ini menunjukkan minat pada satu titik cuma ia tidak berapa kuat. Jadi kita akan gerakkan anjing itu sekali lagi namun ia bergantung kepada keadaan cuaca.

"Unit ini akan diatur gerak selepas kerja-kerja menggerudi lubang di titik berkenaan diperluaskan sedikit untuk mendapatkan keputusan yang lebih tepat," katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 19 Mac lalu media melaporkan, pasukan penyelamat telah mengenal pasti kedudukan dua mangsa yang tertimbus itu dan kerja-kerja penggalian serta penebukan bongkah batu di kawasan seluas sembilan meter persegi dengan kedalaman 11 meter dijalankan dengan menggunakan mesin gerudi.

Anjing K9 menunjukkan minat pada satu titik di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM Perak
Anjing K9 menunjukkan minat pada satu titik di lokasi kejadian. - Foto ihsan JBPM Perak

Kerja-kerja itu dipantau sepenuhnya oleh Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) bomba bagi memastikan keselamatan anggota penyelamat dan pekerja syarikat kuari.

Umrani berkata, kerja-kerja penebukan bongkah batu masih diteruskan di kawasan jangkaan mangsa berada.

Artikel Berkaitan:

"Operasi menggerudi akan diteruskan bagi mengesahkan kedudukan sebenar jengkaut yang turut tertimbus.

"Tiga buah jengkaut digunakan bagi mengeluarkan timbunan runtuhan bongkah batu," katanya.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi mengakibatkan dua mangsa tertimbus iaitu Itam Lasoh, 43, dan Kheow Loo Siew Soon, 49.

Seorang lagi mangsa berusia 35 tahun yang mengalami patah tulang kaki dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan manakala rakannya berusia 38 tahun cedera ringan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!