KPWKM bincang KDN tangani isu mangsa keganasan rumah tangga
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata pihaknya maklum mengenai keluhan wanita yang menghadapi kesukaran untuk membuat laporan polis selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"KPWKM berterusan mengadakan libat urus dengan KDN kerana Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11) adalah di bawah kementerian tersebut," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya dekat sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai keluhan wanita terutamanya di media sosial yang menghadapi kesukaran membuat laporan polis berikutan kes tersebut didakwa sebagai masalah keluarga.
Menurutnya, sekiranya wanita menghadapi masalah berdepan dengan kesukaran tersebut, mereka dinasihatkan agar terus ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Laporan daripada hospital itu boleh juga digunakan dan pihak polis tidak boleh menidakkan laporan yang dibuat," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) untuk melakukan pemisahan sementara antara mangsa dan pelaku sekiranya berlaku penderitaan.
"EPO ini bagi melindungi wanita terbabit agar tidak terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga," katanya selepas melancarkan Buku Wanita Bangkit.
Sementara itu, dalam ucapannya Rina berkata, buku Wanita Bangkit adalah hasil kerjasama KPWKM melalui Institut Sosial Malaysia dan Akademi Bonda Nor telah menampilkan 34 kisah benar yang dinaratifkan menjadi pengkisahan yang bakal membangkitkan menjentik semangat serta motivasi untuk bangkit semula walau apa jua keadaan yang merundung mereka.
Menurutnya, kisah tersebut bukan setakat menjadi inspirasi malah bakal menjadi iktibar kepada seluruh masyarakat dan khalayak pembaca.
"Diharapkan kesedaran masyarakat agar lebih cakna berkaitan isu-isu kehidupan dan kesukaran yang membelenggu wanita dalam melangsungi sebuah kehidupan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!