MySejahtera: Kerajaan tukar vendor jika perjanjian tidak adil

Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan melantik vendor baharu sekiranya rundingan dengan MySJ Sdn Bhd yang mengendalikan MySejahtera gagal memberikan perjanjian yang adil kepada kerajaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan sebolehnya mahu rundingan itu berjaya dan memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Menurutnya, buat masa ini, rundingan itu turut meliputi langkah ke depan, termasuk penyelenggaraan platform tersebut.

"Sudah tentu kita mahu rundingan ini berjaya, maka lebih senang untuk kita gunakan platform tersebut. Saya sudah maklumkan kepada vendor, kalau sekiranya kita tidak mendapat perjanjian yang adil kepada kerajaan, maka kita boleh pilih vendor yang lain sebab data itu masih disimpan oleh kerajaan.

"Cuma, mungkin syarikat yang baharu itu perlu buat perjanjian baharu daripada segi penyelenggaraan platform. Kita juga sedang dalam proses melihat kepada apa perkhidmatan yang kita perlukan untuk jangka masa panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan buku 'Systems Thinking Analyses for Health Systems Policy and Systems Development: A Malaysian Case Study' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Entomo Malaysia Sdn Bhd telah melesenkan perisian MySejahtera pada Oktober tahun lalu kepada MySJ Sdn Bhd hingga 2025 untuk terma kontrak bernilai RM338.6 juta.

Bagaimanapun, ketika ditanya tentang pemindahan hak milik pelesenan itu, Khairy berkata, ia kini sedang diperhalusi menerusi prosiding kehakiman dan tidak mempunyai kaitan dengan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Khairy menegaskan, aplikasi dan data MySejahtera dimiliki oleh kerajaan dan ia selamat serta dikawal selia oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"MySejahtera selamat dan masih lagi di bawah kawal selia kerajaan dan isu perkhidmatan 'software services' sedang dirunding dengan pihak MySJ Sdn Bhd tetapi kita tak akan berkompromi daripada segi keselamatan data tersebut.

"Kerajaan tidak membayar sesen pun kepada syarikat berkenaan setakat ini, sebab itu saya bawa ke Jemaah Menteri supaya kita lebih telus dalam hal ini, supaya kita jelas sebab sudah tamat tempoh CSR.

"Sekarang ini, kita masih guna MySejahtera dan dari semasa ke semasa, saya minta mereka tambah modul. Kalau tiada kontrak, sukar jika kita nak mereka bina dan mungkin mereka akan kenakan bayaran kemudian, kita tak tahu," ujarnya.