Pembukaan kilang Porsche bukti tarikan pelabur di Kedah
KULIM - Kejayaan Sime Darby Berhad dan Porsche AG membangunkan fasiliti kilang pemasangan tempatan untuk Porsche di Kulim menunjukkan kejayaan Kedah dalam menarik pelaburan asing dalam bidang automotif.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, kejayaan tersebut merupakan pemasangan tempatan untuk Porsche yang pertama di luar negara Jerman menjadikan Kulim, Kedah sebagai tapak pertama di luar Eropah.
Baginda bertitah, ia sekali gus menjadikan negeri Kedah terkenal sebagai hab pemasangan tempatan untuk jenama terkemuka automotif dunia sejak beberapa dekad lalu.
"Bermula dengan industri pemasangan motosikal di Gurun, Kedah terus berkembang dengan menjadi lokasi pilihan untuk jenama besar seperti BMW, Kia, Mazda dan beberapa jenama lain mewujudkan pemasangan tempatan untuk produk automotif masing-masing.
"Potensi dan kebolehan rakyat Kedah sememangnya telah dibentuk serta diperkembangkan dan kini dikenali oleh pemain industri automotif, baik yang dekat mahupun yang jauh," titah baginda ketika melancarkan Majlis Perasmian Kilang Pemasangan Porsche Tempatan di Malaysia pada Isnin.
Baginda yakin setiap lapisan masyarakat merupakan barisan pejuang dalam memperkukuhkan ekonomi negara dan pada masa sama, masyarakat tempatan juga bakal meraih peluang pekerjaan serta perniagaan hasil pembukaan kilang baharu ini.
"Seperti yang telah dimaklumkan, kilang baharu Porsche ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan sekali gus membuktikan Kedah adalah antara penyumbang utama negara dalam menyediakan peluang dan melonjakkan produktiviti negara.
"Justeru, kesungguhan dan komitmen semua dalam usaha bersepadu ini dapat menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih mampan untuk generasi akan datang,"titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!