Laos mulakan pemberian dos keempat vaksin Covid-19 pada April

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

VIENTIANE - Bermula April, Kementerian Kesihatan Laos merancang untuk menawarkan dos keempat vaksin Covid-19 kepada petugas kesihatan dan individu yang berisiko menghidap penyakit serius untuk melindungi kumpulan yang terdedah daripada varian Omicron.

Suntikan penggalak itu bertujuan meningkatkan tahap antibodi terhadap virus berkenaan, yang akan mengurangkan risiko penyakit teruk, Xinhua memetik laporan harian tempatan Vientiane Times pada Isnin.

Menurut laporan itu, dos keempat akan ditawarkan kepada pekerja barisan hadapan, golongan yang mengalami masalah imun atau penyakit kronik, dan penduduk yang berumur 60 tahun ke atas.

Vaksinasi tambahan itu juga akan dilaksanakan di wilayah yang sangat bergantung kepada pelancongan atau wilayah dengan kadar jangkitan tinggi.

Suntikan vaksin Pfizer dan AstraZeneca akan ditawarkan kepada orang yang menerima dos ketiga sekurang-kurangnya tiga bulan lalu.

Kumpulan kedua yang bakal menerima dos keempat ialah anggota polis, petugas di sempadan, diplomat, dan pekerja yang memasuki negara itu. Diikuti kumpulan yang bekerja di tempat yang sesak seperti bank, perniagaan berkaitan pelancongan dan kilang, serta orang awam.

Pihak berkuasa kesihatan bimbang Omicron mungkin merebak ke seluruh negara, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang tidak divaksin.

Menurut Pusat Maklumat dan Pendidikan untuk Kesihatan, 75.72 peratus daripada populasi yang layak sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19, 60.4 peratus memperoleh dos kedua, dan 16 peratus dengan tiga dos. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!