Skuad Amru jadi 'mata-mata' Jaheaik pantau 'geng plastik hitam'
KOTA BHARU - Seramai 700 anggota Skuad Amru di seluruh negeri ini akan bertindak sebagai 'mata-mata' dengan memberikan maklumat kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) berkait aktiviti makan pada waktu siang sepanjang bulan Ramadan bermula 3 April ini.
Timbalan Pengarah Operasi Jaheaik, Dr Hasnan Ramli berkata, pihaknya akan bertindak sebaik sahaja menerima maklumat daripada Skuad Amru.
"Skuad ini kita berikan watikah pelantikan dan kad sebagai bukti mereka adalah sukarelawan yang membantu pihak kami.
"Pihak kami juga turut menggerakkan anggota penguat kuasa untuk membuat pemantauan dalam mencegah aktiviti makan pada waktu siang hari di bulan Ramadan," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar sempena Ramadan di sini pada Isnin.
Menurutnya, pada masa sama Jaheaik turut menggerakkan unit risikan serta melakukan penyamaran dalam membuat intipan ke atas lokasi-lokasi panas sebelum melakukan serbuan.
Beliau berkata, kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turut dilakukan dalam mencegah perlakuan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!