Dua syarikat sebabkan pekerja maut didenda RM40,000
SHAH ALAM – Sebuah syarikat dan sub-kontraktor pemasang lif didenda masing-masing RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, kerana gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan pekerjanya maut dihempap pengimbang lif, dua tahun lalu.
Antah Schindler Sdn Bhd dan Promart Engineering Sdn Bhd dikenakan hukuman itu selepas dua pengurus yang mewakili syarikat berkenaan, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, dua syarikat tersebut selaku majikan didapati gagal menjalankan kewajipan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya.
Mereka gagal membuat penaksiran risiko bagi kerja-kerja pemasangan rekaan dalaman lif penumpang sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut dihempap pengimbang di lif pit tapak Projek Pembinaan Setia City Mall Fasa 2, Bandar Setia Alam, di sini pada 27 November 2020.
Ia merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Dalam prosiding, kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Mohd Fais Suin.
Sementara itu, dalam kenyataan media, JKKP Selangor berharap, kes ini memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja agar mengambil berat dengan pematuhan undang-undang demi kepentingan awam serta keselamatan pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!