Voli MB Kedah tarik perhatian peminat bola sepak tanah air
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menunjukkan kebolehannya dalam sukan bola sepak apabila membantu pasukan veteran Menteri Besar Kedah mengatasi pasukan veteran PDRM Kedah, 1-0 pada aksi persahabatan pada Ahad.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu juga beraksi cemerlang dengan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada separuh masa kedua di Stadium Darul Aman pada Majlis Perasmian Penutup Piala Ketua Polis Kedah 2022 sempena Peringatan Hari Polis ke-215.
Pada perlawanan itu juga, beberapa aksi menarik Muhammad Sanusi dapat dilihat termasuklah satu sepakan voli jarak jauhnya yang menggegar tiang gol pasukan lawan.
Pada waktu yang sama, penjaga gol pasukan veteran PDRM Kedah sudah pun tertewas.
Video percubaan voli oleh Menteri Besar Kedah itu kini tular di media sosial dan menarik perhatian peminat bola sepak tempatan.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menerusi Facebooknya berkata, beliau masih lagi mewakili Kedah walaupun diberikan jersi yang tidak melambangkan identiti negeri tersebut.
"Saya masih Kedah walaupun depa (mereka) bagi jersi biru merah," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!