Malaysia jadi tuan rumah Kejuaraan Berbasikal Trek Asia 2023
MALAYSIA berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2023 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai.
Ia akan menjadi kejohanan berbasikal trek antarabangsa pertama yang dianjurkan Malaysia sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, kejohanan itu akan membawa mata kelayakan penting untuk Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, ini adalah berita gembira buat pelumba negara terutama pelumba basikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom kerana mereka akan mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri dan menerima sokongan daripada peminat sukan itu.
“Saya berasa gembira kerana selepas perbahasan dan perbincangan semasa mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia), akhirnya Malaysia memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah ATC 2023. Ini akan menjadi acara trek (basikal) antarabangsa pertama negara sejak Covid-19 melanda.
“Kami sangat teruja dan berharap dapat melakukan yang terbaik. Kami akan membantu para atlet negara untuk mencapai matlamat mereka dan (merealisasikan) potensi mereka supaya mereka layak ke Sukan Olimpik 2024,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ATC pada 2018 di Velodrom Nasional bagaimanapun skuad negara yang diketuai Mohd Azizulhasni gagal menyerlah.
Mohd Azizulhasni hanya berjaya meraih pingat perak dalam acara pecut lelaki dan gangsa dalam acara keirin lelaki. Bagaimanapun, ‘The Pocket Rocketman’ berjaya mencatat rekod pecutan 100 meter di bawah 10 saat, buat pertama kali dalam kariernya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!