MOC Malaysia-Qatar berhasil dengan pembangunan projek tenusu di Perlis
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI]Memorandum Kerjasama (MOC) antara Baladna Dairy Facility yang berpangkalan di Qatar dengan FGV Holdings Bhd dan FELCRA Bhd yang ditandatangani pada 2019 dijangka membuahkan hasil dengan pembangunan projek tenusu berskala besar di Lembah Chuping, Perlis.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, berdasarkan kerjasama strategik itu, projek tersebut menyediakan peluang besar kepada Malaysia dan Qatar untuk meningkatkan nilai dalam industri makanan Malaysia dan apa lebih penting lagi untuk memastikan keselamatan makanan di rantau ini..
"Di bawah usaha sama menarik Baladna, FGV Holdings Bhd dan FELCRA, kerjasama ini akan membawa pelaburan, kepakaran dan teknologinya untuk meningkatkan pengeluaran susu segar semasa Malaysia selaras dengan Agenda Keselamatan Makanan Nasional kami yang bertujuan mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap import tenusu.
"Pada masa yang sama, pelaburan RM2 bilion akan mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri tenusu tempatan,” kata Mohamed Azmin menerusi catatan di akaun Twitternya,
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mohamed Azmin melawat Fasiliti Tenusu Baladna yang canggih, ia merupakan salah satu ladang lembu terbesar di Qatar.
Mohamed Azmin berkata, Kemudahan Tenusu Baladna yang berkeluasan lebih dua juta meter persegi mempunyai kapasiti untuk menempatkan sehingga 24,000 ekor lembu dalam persekitaran yang selesa dan berhawa dingin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!