Pengusaha harumanis disaran guna bahan organik: Raja Muda Perlis

Pengusaha harumanis disaran agar menggunakan input pertanian daripada bahan organik yang dihasilkan sendiri bagi mengurangkan kos produk pertanian itu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Pengusaha harumanis disaran agar menggunakan input pertanian daripada bahan organik yang dihasilkan sendiri bagi mengurangkan kos produk pertanian itu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Pengusaha harumanis disaran agar menggunakan input pertanian daripada bahan organik yang dihasilkan sendiri bagi mengurangkan kos produk pertanian itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penggunaan bahan organik dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha akibat kenaikan harga input pertanian seperti baja dan racun.

"Peningkatan input pertanian telah menyebabkan harga harumanis meningkat sehingga RM40 sekilogram bagi pasaran di luar negeri Perlis," titah baginda pada Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2022 di Pusat Kecemerlangan Mempelam Harumanis, Pusat Pertanian Bukit Bintang di sini, pada Isnin.

Baginda bertitah, musim harumanis agak singkat iaitu antara dua hingga tiga bulan dan faktor cuaca yang tidak menentu pada tahun ini, menyebabkan pengeluaran buahnya terjejas.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis Nurulhisham Yaakob dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis (JPNPs) Hafizuddin Othman.

Sementara itu, Hafizuddin Othman berkata, pihaknya berusaha menambah baik penjualan secara dalam talian melalui kerjasama dengan Maybank di bawah Program Sama-Sama Lokal dan Syarikat Air Asia Grocer bagi memperluaskan pasaran harumanis ke Sabah, Sarawak dan Singapura.

"Ia bagi memastikan bahawa rakyat Malaysia di luar Perlis dapat merasai keunikan rasa dan keenakan harumanis di samping dapat melakukan jualan secara terus dari ladang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata pada tahun ini pengeluaran harumanis dianggarkan sebanyak 1,427 metrik tan dengan anggaran nilai jualan RM38.53 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!