Gempa bumi di Beluran: Tiada panggilan kecemasan diterima
BELURAN - Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran tidak menerima sebarang panggilan kecemasan susulan kejadian gempa bumi lemah berukuran 3.8 skala richter yang berlaku di daerah itu pada jam 8.39 malam, Isnin.
Ketua BBP Beluran, Rastam Keladi berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang panggilan berhubung kejadian itu.
"Gegaran pun tidak berapa dirasai semalam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum itu, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) gempa bumi itu berlaku di koordinat 6.5 darjah Utara dan 117.5 darjah Timur di Beluran.
Gempa dikesan di kedalaman tujuh kilometer dan berada 47 kilometer dari Pitas.
Gegaran mungkin turut dirasai di Beluran dan sekitarnya.
Sehubungan itu, MetMalaysia akan terus memantau keadaan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!