Abramovich, dua perunding kanan Ukraine dipercayai diracun

 Roman Abramovich - Foto AFP
Roman Abramovich - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bekas pemilik kelab bola sepak Chelsea yang juga perunding Rusia dalam perang Ukraine, Roman Abramovich dilaporkan dipercayai diracun sebagai usaha untuk mensabotaj rundingan damai, lapor Wall Street Journal pada Isnin.

Turut diracun ialah dua perunding Ukraine dengan kumpulan penyokong tegar pro-Rusia disyaki melakukannya, lapor akhbar berkenaan.

Abramovich dan sekurang-kurangnya dua perunding kanan Ukraine mengalami gejala seperti mata merah, mata berair yang menyakitkan dan kulit mengelupas di muka dan tangan mereka, menurut sumber yang dipetik oleh akhbar tersebut.

Namun, Penasihat Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak tidak mengesahkan kejadian itu.

“Semua anggota pasukan rundingan bekerja seperti biasa. Terdapat banyak spekulasi mengenai maklumat dalam media dan pelbagai teori konspirasi," katanya seperti dilaporkan AFP.

Tidak jelas siapa yang mungkin melakukan serangan itu tetapi mereka yang disasarkan menyalahkan penyokong tegar di Moscow yang cuba mengganggu rundingan berterusan untuk menamatkan perang, lapor akhbar berkenaan.

Keadaan Abramovich yang juga seorang bilionair dan perunding lain telah bertambah baik dan nyawa mereka tidak dalam bahaya.

"Ia tidak bertujuan untuk membunuh, ia hanya amaran," kata Christo Grozev iaitu bekas wartawan dan kini seorang penyiasat dengan sebuah kumpulan pemberita penyiasatan, Bellingcat kepada akhbar tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!