Airasia selesai 99 peratus pertanyaan permintaan bayaran balik
AIRASIA Aviation Group Ltd (AAAGL) telah menyelesaikan lebih 99 peratus pertanyaan tetamu/pelanggan berkenaan permintaan bayaran balik yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 sejak dua tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bo Lingam berkata, syarikat penerbangan itu telah menerima jumlah pertanyaan yang amat tinggi dengan purata kira-kira 200,000 setiap hari semasa tempoh puncak.
"Kami telah berhubung dengan lebih lima juta tetamu sejak pandemik bermula dan menyelesaikan sebahagian besar permintaan mereka berkaitan penerbangan yang dibatalkan dengan memberikan kembalian dalam bentuk akaun kredit, bayaran balik tunai ataupun penukaran penerbangan.
"Bagi semua syarikat penerbangan bawah AAAGL, kami setakat ini telah memberikan kembalian kepada lebih tiga juta tempahan tiket sama ada dalam bentuk bayaran balik tunai ataupun akaun kredit. Secara keseluruhan kami menerima permintaan untuk bayaran balik sebanyak AS$1.80 bilion (AS$1=RM4.22) daripada para tetamu sejak 2020," katanya dalam satu kenyataan.
Daripada jumlah permintaan bayaran balik tunai, lebih 99 peratus daripadanya telah berjaya diselesaikan dengan hanya AS$14.66 juta atau 0.8 peratus masih dalam proses pembayaran dan ianya dijangka selesai dalam beberapa bulan sahaja lagi, tambah beliau.
Menurutnya, sebahagian besar tetamu mereka telah memilih akaun kredit yang diproses serta-merta dan sah sehingga dua tahun untuk tempahan daripada tarikh dikeluarkan.
Beliau berkata, dengan penyambungan semula penerbangan domestik dan pembukaan semula sempadan di kebanyakan pasaran utamanya, kira-kira 88 peratus daripada akaun kredit yang dikeluarkan telah digunakan, menandakan keinginan dan keyakinan yang kukuh terhadap perjalanan udara dalam kalangan orang ramai. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!