Khutbah Jumaat: 'Hati kami hancur tapi kami tak hancur'
SHAH ALAM - “Jumaat minggu lalu, saya berdiri di masjid ini. Menyaksikan sendiri dengan mata ini, seorang pengganas melakukan pembunuhan beramai-ramai. 50 terkorban. 42 cedera. Kejadian itu menghancurkan hati jutaan masyarakat di seluruh dunia.
Hari ini, di tempat yang sama, saya melihat cinta dan belas kasihan di mata ribuan warga New Zealand serta di seluruh dunia yang tiada kaitan persaudaraan dengan kita semua tetapi semuanya bersatu melalui semangat dalam diri.
Pengganas ini mempunyai ideologi yang sangat jahat. Tetapi di sini kami menunjukkan New Zealand tidak dapat dihancurkan. Dunia dapat melihat kita sebagai contoh rasa cinta dan semangat perpaduan.
Hati kami luka tetapi kami tidak hancur. Kami masih hidup. Kami tetap bersama-sama. Kami penuh kezaman dengan tidak membenarkan sesiapa memecah-belahkan kami.
Kami berazam untuk mencintai dan menyokong antara satu sama lain. Ideologi yang jahat itu tidak akan memusnahkan kita sama sekali. Ya..kejadian itu membuatkan kita terluka dengan jumlah mangsa yang terkorban tetapi soladiriti di New Zealand sungguh luar biasa.
Kepada keluarga-keluarga mangsa, insan kesayangan anda tidak terkorban dalam keadaan sia-sia. Dunia tidak melihat darah mereka mengalir sahaja malah melihat keindahan Islam dan keindahan perpaduan kita.
Sesiapa yang terbunuh di jalan ALLAH, mereka tetap hidup, bertemu Maha Pencipta. Mereka bukan sekadar mempertahankan Islam, tetapi mereka juga mempertahankan New Zealand”.
Demikian sebahagian kandungan awal Khutbah Jumaat yang disampaikan Imam Gamal Fouda berhampiran Masjid Al-Noor, Christchurch di New Zealand, hari ini.
Khutbah yang disampaikan di hadapan ribuan masyarakat di New Zealand itu ternyata menyentuh hati jemaah yang hadir termasuk masyarakat bukan beragama Islam.
Malah khutbah yang disiarkan secara langsung itu turut memberi kesan mendalam buat sesiapa sahaja yang menyaksikannya.
Melalui siaran langsung itu, dunia dapat melihat masyarakat New Zealand bersatu padu menentang keganasan yang kini menjadi sejarah hitam buat mereka.
Selain itu antara intipati atau mesej yang diketengahkan dalam khutbah itu adalah menekankan bagaimana peranan dan tanggungjawab seorang Muslim dan mereka perlu menjadi contoh kepada masyarakat bukan Muslim.
Selain itu, kisah daripada sirah Rasullullah turut dijadikan contoh dan teladan dalam khutbah tersebut.
Dalam kejadian berdarah 15 Mac lalu, 50 jemaah terkorban dalam serangan pengganas di dua masjid, Al-Noor dan Linwood di Christchurch.
Seorang remaja dari Malaysia, Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, turut terkorban.
Manakala tiga lagi cedera iaitu bapa Hazir, Mohd Tarmizi Shuib, Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!