12 lagi fasiliti sukan akan dinaik taraf
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan menaik taraf 12 lagi fasiliti sukan sebagai persiapan Kelantan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2026.
Exco Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat berkata, fasiliti dikenal pasti menerusi Sekretariat Sukma Pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan bersama Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan.
Katanya, fasiliti sukan itu sesuai untuk dibangunkan sebagai pusat latihan untuk persiapan para atlet dalam menghadapi temasya dwi-tahunan itu.
“Dua pusat latihan siap dinaiktaraf iaitu dewan gimnasium Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab dan pusat skuasy Kompleks Sekolah Wakaf Mek Zainab sebagai langkah awal dalam persediaan fasiliti terbaik menghadapi Sukma 2026.
“Dua lagi fasiliti sedang dinaik taraf iaitu Dewan Badminton Jabatan Kerja Raya (Pusat Latihan Badminton – Persatuan Badminton Negeri Kelantan) dan Dewan Badminton Tengku Anis Pengkalan Chepa,” katanya Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Ke-14 Penggal Kelima, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan menjawab soalan Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad (Barisan Nasional-Kok Lanas).
Mengulas lanjut, bagi persediaan atlet di negeri ini pula diadakan program Talent Identification (TID) yang dilaksanakan oleh MSN di Kota Bharu dan Tumpat.
“Program bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu untuk diserapkan dalam program latihan atlet berprestasi tinggi.
“Langkah akan sekali gus dapat memastikan sasaran menduduki lima tempat terbaik di Sukma Kelantan 2026 nanti menjadi kenyataan,” katanya.
Pada Isnin, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dalam titah ucapan Diraja pada Istiadat Pembukaan Persidangan DUN Kelantan Ke-14 Penggal Kelima berharap Kelantan menjadi lima kontinjen terbaik ketika menjadi tuan rumah pada temasya Sukma 2026.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!