Apa yang kamu buat, jumlah kamu terima makin tinggi: Hakim

Wan Kamarulbahri (kiri) dipenjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa kerana menggunakan dokumen palsu bagi pelantikan sub kontraktor isterinya, tiga tahun lalu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Wan Kamarulbahri (kiri) dipenjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa kerana menggunakan dokumen palsu bagi pelantikan sub kontraktor isterinya, tiga tahun lalu. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] "Apa yang kamu dah buat, jumlah kamu terima makin lama makin tinggi, alasan kamu bertindak demi membantu syarikat tidak boleh diterima, kerana ia sebenarnya untuk kamu sendiri," kata Hakim Rozilah Salleh sebelum menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM20,000 terhadap tertuduh, Wan Kamarulbahri Wan Roslan, di mahkamah sesyen di sini pada Selasa.

Wan Kamarulbahri, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan pilihan, menggunakan dokumen palsu bagi pelantikan sub kontraktor isterinya, tiga tahun lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula Selasa dan jika gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara selama enam bulan.

Mengikut pertuduhan, bekas pengurus syarikat pengangkutan itu didakwa dengan curangnya telah menggunakan surat permohonan Syarikat Kay R Resources (M) Sdn Bhd bertarikh 20 Ogos 2019 sebagai tulen.

Ia bagi mendaftar sebagai sub kontraktor pengangkutan kepada FGV Transport Services Sdn Bhd bagi mengangkut minyak sawit dan baja, yang tertuduh ketahui pada masa menggunakannya adalah satu dokumen palsu.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat perkhidmatan pengangkutan itu di Pelabuhan Klang pada 26 Ogos 2019.

Ia merupakan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, peguam, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana insaf dengan kesalahan yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noryusriza Zulkifli mencadangkan, mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam.

"Kapasiti tertuduh sebagai pengurus syarikat, telah diberi kepercayaan dan amanah tetapi dia memungkirinya, secara tidak langsung menafikan hak-hak syarikat lain," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan seorang bekas pengurus syarikat pengangkutan GLC akan didakwa atas pertuduhan salah guna kuasa membantu syarikat isterinya bagi pelantikan sub kontraktor.

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan di pejabat SPRM Selangor kira-kira jam 2 petang.

Menurut sumber, suspek dipercayai menggunakan jawatannya bagi menyokong syarikat milik isterinya untuk dilantik melakukan kerja-kerja mengangkut bahan mentah komoditi.

Kata sumber itu, ia membabitkan nilai kerja keseluruhan kira-kira RM80,000 dan perbuatan suspek dipercayai dilakukan pada Ogos 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!