Fasa endemik: Awas PATI! Polis perkukuh risikan

Hazani
Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperkukuhkan risikan di sempadan laut serta darat bagi mengekang sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam skala besar ketika negara memasuki fasa endemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kekuatan anggota sedia ada dikekalkan dengan menambah rondaan unit berkuda.

Menurut beliau, lapan unit berkuda masing-masing ditempatkan di Perlis dan Kelantan bagi memantapkan rondaan dan memperkasakan kawalan sempadan.

"Bagi tujuan itu juga, polis turut bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, dari segi keberkesanan unit berkuda berkenaan, penugasan menerusi unit itu menjadi elemen 'Show Off Force' bagi menambah keyakinan masyarakat dengan kehadiran anggota keselamatan.

"Dari masa ke masa kita akan melakukan penambahbaikan untuk memperkasakan lagi kawalan sempadan negara termasuk kaedah sedia ada seperti penggunaan dron, Unit Anjing Pengesan (K9) dan kerjasama daripada jabatan keselamatan lain," katanya.

Pada Sabtu, Hazani berkata, PDRM akan menambah 60 ekor kuda bagi membantu memperkasakan kawalan di kawasan sempadan apabila pintu masuk negara dibuka bermula 1 April ini.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kesemua kuda dari Argentina itu akan dibawa masuk ke Malaysia dalam tempoh terdekat.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!