Malaysia bakal jadi hub pengedaran produk aeroangkasa serantau

Temel Kotil
Temel Kotil
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat aeroangkasa antarabangsa, Turkish Aerospace memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk membangunkan pusat pembuatan dan hub pengedaran produk mereka di rantau Asia Tenggara.

Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Profesor Temel Kotil berkata, beliau memilih Malaysia kerana percaya dengan kebolehan anak watan dan kagum dengan kepakaran bakat tempatan dalam bidang elektronik

Menurutnya, Turkish Aerospace yang berpangkalan di Ankara, Turki itu berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang pembuatan produk aeroangkasa dan ingin berkongsi pengalaman dan kemahiran bersama Malaysia.

“Di Turki kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh produk Turkish Aerospace, sekarang kami ada sekitar 1,000 orang jurutera untuk helikopter sahaja.

“Jadi kami mahu bawa pengalaman dan kongsikan dengan Malaysia. Seperti kata Presiden kami, jika kita menanam buah epal 20 tahun lalu sekarang pokoknya sudah berbuah jadi kami ingin Malaysia turut menikmati buah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (Natsec) di sini pada Selasa.

Temel berkata, pihaknya telah membuka sebuah pejabat urusan Turkish Aerospace Malaysia di Cyberjaya sejak empat bulan lalu dan telah melantik sekitar 50 orang jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global di sini.

Katanya, Turkish Aerospace turut berkolaborasi bersama dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftec), dan beberapa agensi berkaitan dan institusi pendidikam tempatan untuk membangunkan sistem avionik tersebut dan beberapa produk lain seperti dron tanpa pemandu (UAV).

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Turkish Aerospace turut mengadakan perbincangan dengan beberapa negara serantau tetapi katanya, beliau memberi perhatian istimewa terhadap negara kerana percaya dengan kebolehan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia telah membuat banyak pelaburan untuk membangunkan program aeroangkasa tempatan daripada selenggaraan, pembaikan dan operasi (MRO), reka bentuk dan kami berharap boleh menjadi pembuat di sini.

“Itulah polisi kerajaan anda dan kami mahu menyokong polisi tersebut. Kami akan pastikan kami mampu untuk menghasilkan produk kami di sini, daripada pemasangan dan pembuatan akan bermula di Malaysia, itulah sasaran kami,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!