Pemandu lori mengaku tidak bersalah hina Melayu, Islam di FB
GEORGETOWN - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mengeluarkan kenyataan jelik dan menghina terhadap orang Melayu dan Islam di Facebook, 23 Januari lalu.
Tertuduh, Karitikesoo Valu, 43, hanya tersenyum dan menggelengkan kepalanya menandakan tidak bersetuju dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca kepadanya.
Dia yang berasal dari Bandar Kinrara, Puchong, Selangor didakwa menyalahgunakan perkhidmatan internet dengan menyiarkan mesej jelik dan kebencian itu menerusi akaun Facebook bernama Suresh Don Don.
Perkara itu disedari seorang pekerja kilang di Bayan Baru dan telah membuat laporan polis pada Januari lalu.
Pendakwaan dibuat oleh Pengarah Unit Pendakwaan Pulau Pinang, Yusaini Abdul Karim di hadapan Hakim Norsalha Hamzah hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menulis bahawa orang bukan Melayu akan mengambil alih negara kerana kemenangan Pakatan Harapan dan bilangan masjid akan dikurangkan, azan juga akan dihadkan dan panggilan lebih banyak daging babi akan dilemparkan ke masjid.
Sementara itu, peguam tertuduh, Sukhindarpal Singh dari Pusat Bantuan Hukum memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya adalah pencari nafkah tunggal keluarga dan mempunyai lima anak.
Sukhindarpal juga memberitahu bahawa isteri tertuduh dalam perjalanan dari Puchong untuk menjaminnya selepas tertuduh ditahan polis petang semalam.
Bagaimanapun, Norsalha tidak membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh dan menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menulis kenyataan yang tidak menyenangkan (jelik).
Ia memperuntukkan hukuman maksimum RM50,000 dan/ atau setahun penjara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!