Larangan kenderaan berat masuk KL masih berkuat kuasa

Pemantauan kenderaan berat secara berkala oleh DBKL bersama agensi penguat kuasa lain.
Pemantauan kenderaan berat secara berkala oleh DBKL bersama agensi penguat kuasa lain.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Larangan kenderaan berat masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur semasa waktu puncak masih dikuatkuasakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, larangan itu dikenakan pada dua waktu puncak iaitu jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan jam 4.30 petang hingga 7.30 petang.

Menurutnya, DBKL mengambil langkah memaparkan masa larangan masuk kenderaan berat pada paparan Variable Message Sign (VMS) selain meletakkan notis awam yang mudah dilihat di lokasi-lokasi strategik termasuk jalan-jalan masuk utama.

Jalaluddin
Jalaluddin

"Larangan ini dikuatkuasakan bersama rakan-rakan strategik DBKL iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pihak yang gagal mematuhi arahan ini, mereka boleh dikenakan notis kompaun mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Pengangkutan Bahan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1997," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, sejak 2020 sehingga Mac 2022, sebanyak 2,189 notis kompaun telah dikeluarkan terhadap kenderaan berat yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Tambahnya, operasi penguatkuasaan akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan semua pihak mematuhi peraturan diberikan bagi memastikan Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang selamat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!