[VIDEO] Dua suspek samun warga emas berjaya diberkas
KUALA LUMPUR - Dua suspek yang menyamun seorang wanita warga emas di hadapan rumah anaknya di Bandar Tun Razak di sini, berjaya diberkas secara berasingan di Lembah Klang pada Ahad dan Isnin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan pada jam 12.15 tengah malam Ahad.
"Semakan mendapati suspek memiliki 18 rekod lampau. Lelaki itu direman enam hari bermula Isnin hingga Jumaat bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Muhammad Idzam berkata, hasil soal siasat, pihaknya memberkas seorang lagi suspek berusia 29 tahun pada jam 11 pagi Isnin.
"Kita turut merampas barangan yang dipercayai digunakan dalam kes tersebut beserta wang tunai sebanyak RM5,300," katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek itu juga memiliki 18 rekod jenayah lampau.
"Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin," katanya.
Pada Sabtu, polis telah terkesan satu video tular di media memaparkan kejadian samun melibatkan mangsa seorang wanita warga emas di Bandar Tun Razak.
Suspek bersenjatakan parang dan menaiki motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru hitam.
Muhammad Idzam memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!