'Segera kembali ke pangkal jalan andai tersasar'

Shahrul Laili (kanan) diberi penerangan mengenai operasi Sinar Harian oleh Penolong Ketua Wartawan Meja Am, Mohd Hafiz Ismail (kiri) ketika kunjungan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Shahrul Laili (kanan) diberi penerangan mengenai operasi Sinar Harian oleh Penolong Ketua Wartawan Meja Am, Mohd Hafiz Ismail (kiri) ketika kunjungan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota dan pegawai polis yang telah tersasar jalan dan tidak berintegriti disaran agar kembali ke landasan yang betul dalam memperkasakan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata masyarakat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Shahrul Laili Masduki berkata, integriti amat penting dalam memastikan seseorang anggota mahupun pegawai itu sentiasa menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat.

"Saya harap agar mana-mana anggota atau pegawai yang merasakan diri mereka 'tersasar' segera kembali ke pangkal jalan, ingat ikrar yang dilafazkan.

"Apabila seseorang anggota atau pegawai itu tidak berintegriti, ia bukan sahaja menjejaskan diri sendiri malah turut memburukkan imej PDRM, masyarakat pula akan memandang serong kepada PDRM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika mengunjungi Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini pada Selasa.

Shahrul Laili (kiri) diiringi Hashim Anang ketika kunjungan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.
Shahrul Laili (kiri) diiringi Hashim Anang ketika kunjungan di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Selasa.

Menurutnya, paling penting adalah sentiasa berpandukan kepada apa yang digariskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani baru-baru ini.

"Seperti yang diungkapkan Ketua Polis Negara, sebagai seorang pegawai atau anggota, perlu sentiasa menjaga dan mengutamakan integriti, sampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan sentiasa menyokong dasar kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Ingatlah bahawa apa yang digalas ini bukan sekadar tugas semata-mata namun ia adalah satu amanah yang dipertanggungjawabkan dan harus dipikul dengan penuh kejujuran," katanya.

Menurutnya, dalam masa sama anggota dan pegawai-pegawai muda juga perlu sentiasa berilmu, berdisiplin dan fokus dalam melaksanakan tugas.

"Jangan terlalu mudah mengalah, sentiasa kuatkan diri mempersiapkan diri dengan ilmu, berdisiplin dan sentiasa fokus dalam melaksanakan tugas.

"Cabaran itu biasa dalam melaksanakan tugas, hadapi cabaran dengan penuh kekuatan dan masa sama jangan cepat merungut, laksanakanlah tugaS dengan penuh dedikasi, amanah dan bertanggungjawab," katanya.

Dalam pada itu, kunjungan Shahrul Laili disambut oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Beliau bersama beberapa pegawai kanan polis Selangor serta ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Selangor turut dibawa dengan lebih dekat melihat operasi syarikat khususnya proses penerbitan dan percetakan akhbar Sinar Harian serta al-Quran.

Shahrul Laili turut dibawa ke kilang percetakan untuk melihat bagaimana proses cetakan sebelum melawat ke Karangkraf Mall dan Studio F yang menjadi lokasi pentas Wacana Sinar serta beberapa program lain anjuran Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!