Berbuka puasa di rumah, elak pembaziran
GEORGETOWN - Umat Islam dinasihatkan berbuka puasa di rumah bersama ahli keluarga berbanding berbuka di hotel bagi mengelakkan pembaziran di bulan Ramadan yang bakal disambut pada Ahad nanti.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, iftar atau berbuka puasa sepatutnya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dalam suasana kerohanian.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu telah bertukar kepada 'pesta makan dengan 100 jenis hidangan' di hotel dan restoran yang akan menyumbang kepada pembaziran makanan yang melampau.
"Sejak 10 tahun lalu, kami telah melancarkan kempen menentang pembaziran di bulan puasa yang mana, kebanyakkannya dilakukan oleh golongan elit Muslim. Ia amat menyedihkan kerana terdapat berjuta orang lagi yang tidak mempunyai makanan, tempat berteduh, pendidikan dan penjagaan kesihatan yang mencukupi.
"Ramadan sepatutnya menjadi bulan beribadat bagi umat Islam tetapi bagi sesetengah orang, ia menjadi bulan untuk menjamu selera selain pembaziran ketika berbelanja. Islam menyuruh umatnya untuk mengelakkan bersikap rakus, membazir dan boros," katanya pada sidang akhbar di Pejabat CAP di sini pada Selasa.
Sebelum itu, CAP melancarkan Kempen Hentikan Pembaziran Pada Bulan Ramadan yang disempurnakan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Turut hadir Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Pada 2016, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaporkan, sebanyak 200,000 tan makanan dibuang setiap kali Ramadan yang mana, makanan itu mampu diberikan kepada 180 juta orang.
Dalam pada itu, Mohideen berkata, lebih membimbangkan, budaya makan dan minum dengan banyak sehingga mengabaikan kewajipan solat juga kerap berlaku ketika Ramadan.
"Sikap makan dengan banyak juga akan memberi kesan sampingan kesihatan yang serius seperti diabetes, penyakit koronari dan tekanan darah tinggi. Membuang makanan merupakan satu dosa memandangkan ia menafikan makanan untuk mereka yang memerlukan.
"Ia juga melenyapkan sumber dan mengakibatkan kemerosotan alam sekitar melalui pencemaran laut, sungai selain menyebabkan pelepasan karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global," katanya.
Mengulas mengenai Kempen Hentikan Pembaziran Pada Ramadan yang dilancarkan, Mohideen berkata, kempen itu mendapat sokongan daripada komuniti, pemimpin agama serta ahli politik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!