Azman dilantik KSU KPDNHEP baharu, Hasnol Zam Zam ke SUK Perlis

Azman, Hasnol Zam Zam
Azman, Hasnol Zam Zam
A
A
A

PUTRAJAYA, - Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perlis, Azman Mohd Yusof dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baharu berkuat kuasa Rabu.

Azman, 56, menggantikan Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad yang dilantik sebagai SUK Perlis juga berkuat kuasa Rabu.

Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan pada Selasa.

Azman yang menyertai perkhidmatan awam selama 30 tahun bermula sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1992 berpengalaman luas dalam bidang perancangan, pengurusan sumber manusia dan dasar.

"Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, beliau (Azman) mampu menerajui pentadbiran KPDNHEP dalam merealisasikan hasrat kementerian menjadi kementerian utama negara yang berpandukan oleh visinya iaitu 'perdagangan dalam negeri yang progresif, mampan',” kata Mohd Zuki.

Azman yang memiliki kelulusan ljazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) daripada Universiti West Texas A&M, Amerika Syarikat dan ljazah Sarjana Pentadbiran Awam daripada Universiti Saitama, Jepun juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Mohd Zuki berkata, pemilihan Hasnol Zam Zam, 55, pula adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha KPDNHEP.

"Saya berkeyakinan penuh Hasnol Zam Zam akan berkhidmat dengan penuh integriti dalam menerajui kepimpinan di pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perancangan Bandar daripada Universiti Utah dan Ijazah Sarjana Perancangan Bandar daripada Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat, Hasnol Zam Zam telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun serta menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Dis 1992. - Bernama