Tunku Azizah lawat pusat songket di Penjara Puncak Borneo

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau proses tenunan songket ketika melawat Pusat Vokasional Industri Songket SaraPride Penjara Puncak Borneo Kuching, hari ini. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meninjau proses tenunan songket ketika melawat Pusat Vokasional Industri Songket SaraPride Penjara Puncak Borneo Kuching, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Pusat Vokasional Industri (PVI) Songket SaraPride Penjara Puncak Borneo di sini hari ini.

Seri Paduka tiba di Kompleks Penjara Puncak Borneo pada 10.30 pagi dan meluangkan masa lebih satu jam di PVI Songket SaraPride bagi melihat pameran dan tenunan yang dihasilkan banduan di penjara itu.

Turut mengiringi baginda, isteri Premier Sarawak selaku Penaung Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad.

Selepas lawatan ke PVI Songket SaraPride, Tunku Azizah dipersembahkan dengan peragaan tekstil produk Jabatan Penjara Malaysia sambil menjamu santapan tengah hari.

Berucap pada majlis santapan itu, Nordin berkata Jabatan Penjara akan terus berusaha melahirkan penghuni penjara yang mahir dan diberikan pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tenunan bertaraf dunia.

Pada sebelah petang, Tunku Azizah berkenan berangkat ke Muzium Budaya Sarawak yang bertaraf dunia bernilai RM323 juta dan baharu dibuka kepada umum Januari lepas.

Raja Permaisuri meluangkan masa dua jam berada di galeri-galeri yang mempamerkan sejarah dan kebudayaan Sarawak selain pameran artifak lama yang mempunyai nilai estetik tersendiri.

Sebagai tanda kenang-kenangan lawatan singkat Raja Permaisuri ke muzium itu, pihak Muzium Budaya Sarawak telah memberikan sehelai kain Pua Kumbu kepada Tunku Azizah.

Muzium Budaya Sarawak direka dengan binaan moden mempunyai ruangan pameran selain kemudahan seperti pemuliharaan dan makmal yang mengikut piawaian antarabangsa serta ruang penyimpanan koleksi-koleksi muzium. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!