Harimau Malaya mampu melangkah lebih jauh
SKUAD Harimau Malaya mampu melangkah lebih jauh pada saingan Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan di bawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon berdasarkan kepada aksi yang dipamerkan pada Siri Tiga Negara FAS 2022 di Singapura baru-baru ini.
Menurut pemain tengah berpengalaman Safiq Rahim, pelbagai perkara baharu yang dipelajari yang menjadikan para pemain lebih positif menjelang saingan kelayakan tersebut.
“Dalam tempoh 10 hari lalu, kita banyak belajar benda baharu untuk pasukan kebangsaan dan pada pandangan saya, insya-ALLAH, pasukan ini boleh pergi jauh.
“Dengan coach baharu ini, kita jadi lebih faham kehendak beliau dan oleh itu pada tiga perlawanan persahabatan di Singapura, kita banyak belajar benda baharu terutamanya dari segi permainan pasukan kebangsaan.
“Secara keseluruhannya, saya menyifatkan ia sebagai satu persiapan yang cukup baik menjelang saingan kelayakan Piala Asia pada Jun dan diharapkan semua pemain yang terlibat dalam berikan keputusan terbaik kelak,” katanya pada Selasa.
Anak asuhan Pan-gon menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan Kelayakan Piala Asia 2023, dengan mencatat kemenangan 3-0 ke atas kelab Singapura, Albirex Niigata FC pada Isnin.
Terdahulu, pada siri persahabatan skuad negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas Filipina pada Rabu lalu, namun gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tumpas 1-2 kepada Singapura, pada Sabtu.
Untuk rekod, pada pusingan kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Malaysia yang berada di ranking ke-154 dunia, diundi dalam Kumpulan E bersama Bahrain di ranking ke-89, Turkmenistan (134) dan Bangladesh (186).
Harimau Malaya kendalian, Pan-gon kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023 selepas kali terakhir beraksi ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007, selain lebih 40 tahun gagal meraih slot automatik sejak edisi 1980 di Kuwait.
Sementara itu, pemain sayap lincah, Muhammad Faisal Abdul Halim pula berkata, kehadiran jurulatih dari Korea Selatan itu membawa sesuatu perubahan dalam pasukan kebangsaan.
“Secara peribadi, memang saya sangat gembira dapat berada dalam skuad ini dan saya akui memang ada perubahan dari segi permainan kita.
“Cuma kita perlukan masa sedikit lagi perbetulkan apa yang perlu dan saya yakin Pan-gon dan juga semua jurulatih memang berusaha untuk membawa pasukan kita ke tahap yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!