Kualiti air sungai di Selangor masih selamat: MB
SHAH ALAM - Sebahagian besar air sungai di Selangor masih berada dalam kategori selamat dan sesuai dirawat untuk membekalkan bekalan air bersih bagi rakyat di negeri ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, hanya dua sungai di negeri berkenaan berada pada kategori sederhana iaitu Sungai Klang dan sebahagian kecil di hulu Sungai Langat.
Menurutnya, ia masih dirawat dan memerlukan kos rawatan yang tinggi untuk berbuat demikian.
"Mengikut kriteria Indeks Kualiti Air (IKA) yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), tahap air sederhana atau tahap tiga sudah boleh ditapis untuk rawatan air bersih. Namun ia memerlukan kos rawatan yang tinggi.
"Tapi sebahagian besar air sungai di Selangor berada pada tahap satu dan dua, maknanya masih selamat untuk dirawat bagi mendapatkan bekalan air bersih."
Beliau berkatanya ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dengan pihak-pihak berkepentingan, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata, hanya satu empangan air mencatat penurunan sebanyak satu peratus setakat Selasa.
Ujarnya, pemantauan paras air di semua empangan di Selangor sentiasa dijalankan bagi menghadapi musim kemarau bermula Mac hingga Ogos.
"Kita sedar mulai Mac kia perlu bersedia, April hingga Ogos inilah tempoh yang dianggap musim kering di Malaysia.
"Walaupun kita tidak dapat jangka dengan keadaan perubahan iklim, tapi kita bersiap sedia. Sebab itu, laporan Jabatan Metereologi (MetMalaysia) sangat penting, supaya kita boleh alirkan air ke empangan tersebut," katanya.
Pada Selasa, LUAS menjalinkan kerjasama dengan lima agensi berkepentingan menerusi MoU selama tiga tahun bagi memastikan kuantiti dan kualiti sumber air mentah dirawat dan dibekalkan kepada rakyat di negeri tersebut.
Kerjasama tersebut melibatkan beberapa agensi iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), MetMalaysia), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) dan Landasan Lumayan Sdn Bhd.
Amirudin berkata, kerjasama tersebut dicadangkan untuk berkuat kuasa dalam tempoh tiga tahun selepas ia ditandatangani pihak-pihak berkenaan pada Selasa di Bangunan SSAAS di sini pada Selasa.
"MoU ini dibuat supaya data tentang kuantiti dan kualiti air dapat dikongsi yang diusahakan dalam bidang masing-masing, dan ini akan membantu pihak LUAS untuk memastikan bekalan air mentah yang berterusan dan berkualiti disalurkan untuk Loji Rawatan Air (LRA).
"Perkongsian data ini akan menjamin LUAS mempunyai data berkenaan dengan air yang jitu dan tepat. Berdasarkan trend dan data sebelum ini daripada agensi-agensi itu, ia memberi peluang kepada LUAS untuk mempercepatkan pelan mereka untuk menjamin bekalan air mentah konsisten.
"Ia nampak mudah tapi ia memberi makna yang besar kerana bagi saya, ia akan memastikan kelestarian dan kemampanan kehidupan rakyat Selangor dapat dijamin," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!